Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

72 Pemohon Terima Notis 5A, Penantian 22 Tahun Berakhir

By 16 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Penantian lebih dua dekad 72 pemilik lot-lot industri Taman Greatyear Capital akhirnya menjadi kenyataan apabila menerima notis 5A daripada kerajaan Selangor, hari ini.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata pemberian itu membuktikan Kerajaan Negeri sekali lagi berjaya menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi rakyat Selangor.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan negeri yang bersungguh-sungguh dan tidak pernah mengenal erti lelah dalam menyelesaikan masalah rakyat di negeri selangor.

“Ia merupakan agenda utama kerajaan negeri untuk membantu dan membela rakyat Selangor terutamanya dalam isu pemberi milikan tanah, selaras dengan dasar kerajaan negeri yang peduli rakyat,” katanya.

Katanya, kerajaan Negeri terpaksa bertindak mengambil semula tanah berkeluasan 9.726 hektar daripada Syarikat Greatyear Capital kerana tidak dapat menyelesaikan pengagihan lot-lot industri tersebut.

“Kerajaan telah mengambil langkah membatalkan hak milik tersebut menerusi halaman 5 daripada 8 Notis 8A (notis pengembalian tanah kepada kerajaan) pada 27 oktober 2016.

Salah seorang penerima Notis 5A Taman Greatyear Capital yang disampaikan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di Rawang hari ini.

Salah seorang penerima Notis 5A Taman Greatyear Capital yang disampaikan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di Rawang hari ini.

“Namun usaha berterusan dalam membela nasib pemilik lot-lot industri di taman Greatyear Capital terus giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama semua pemilik.

“Tahun 2017, kerajaan telah menerima dan memproses permohonan secara individu 105 pemohon (pembeli asal) untuk memastikan hak semua pemilik tidak diabaikan.

“Akhirnya, pada 29 Mei lalu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah memberi kelulusan kepada seramai 105 pemohon dan ia pastinya mengembirakan mereka yang menanti selama 22 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah dan Notis 5A Taman Greatyear Capital di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Taman Jati, di sini.

Hadir sama, Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmud Pa’Wan Teh, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat dan Timbalan Yang di-Pertua MPS, Datuk Dr Juhari Ahmad.

-NAZ

Tinggalkan komen anda