Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Imarah Masjid Perteguh Ukhuwah

By 11 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto:  Md Ali Hanafiah/Siti Noorezrin Mahmod (Jempol)

JEMPOL, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Penduduk kariah Pekan Bahau boleh menarik nafas lega dengan siapnya masjid jamek yang baharu di pekan ini bagi mengurangkan kesesakan di masjid sedia ada.

Majlis penyerahan Masjid Jamek Bahau telah disempurnakan oleh Menteri Besar Aminuddin Harun, di sini petang semalam.

Aminuddin berkata, masjid tersebut perlu dijadikan bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai pusat pendidikan dan juga pengembangan Islam berlandaskan kepada aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.

“Dengan adanya Masjid Jamek Pekan Bahau ini, besar harapan saya agar masyarakat setempat akan dapat memperteguhkan ukhuwah antara satu dengan yang lain,” ujarnya dalam ucapan perasmian majlis di sini.

WhatsApp Image 2019-09-11 at 09.24.39

Majlis penyerahan Masjid Jamek Bahau.

Beliau juga menyeru agar masjid memainkan peranan sebagai institusi ta’dib dan tarbiyyah untuk menyemai nilai-nilai Islam agar dapat melahirkan umat yang sederhana dan seimbang.

Tambah beliau lagi, pembinaan Masjid Jamek Bahau ini adalah bagi menampung penggunaan harian selari dengan pertambahan penduduk di sekitar Pekan Bahau dan ianya merupakan salah satu diantara beberapa buah projek pembinaan masjid di seluruh Negeri Sembilan.

“Masjid Triang dan Masjid Kem Sirajuddin masih dalam pembinaan manakala masjid yang masih dalam perancangan pembinaan adalah Masjid Bukit Kepayang, Masjid Forest Height, Masjid Warisan Puteri, Masjid Seremban 3 dan Masjid Nilai Impian,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bangunan dan Pendidikan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Mohd Noh Karim berkata projek pembinaan masjid ini mempratikkan kepakaran dalaman JKR dalam proses rekabina dan rekabentuk dan ianya telah dapat menjimatkan kos dari segi bayaran perunding dan kawalan pembinaan sehingga 6 ke 10 peratus daripada kos keseluruhan projek.

“Masjid yang dilengkapi  dengan kemudahan dewan terbuka dan menara tiga tingkat ini turut mengambil kira keperluan orang kelainan upaya (OKU) dalam rekabentuknya selaras dengan amanat kerajaan negeri yang menekankan keperluan OKU dalam pembangunan infrastruktur negeri,” katanya ketika ditemui.

Noh turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada kontraktor yang dilantik iaitu Ammarda Management & Services kerana telah berjaya menyiapkan projek dalam masa yang ditetapkan.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Masri Razali, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Mohd. Zaidi Ramli, Pegawai Daerah Jempol, Mas Midyawan Yahya, Jurutera Daerah Jempol, Rosdi Abu Bakar serta Ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat.

 -AK

Tinggalkan komen anda