Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanHomeMASabah

Telur Rebus, Kacang, Kochung – Menu Nostalgia Kereta Api Wap

By 11 September 2019Tiada komen6 minit bacaan

Laporan/foto: Fauzrina Bulka & Idris Sani Saberun/ Johnny Joklis (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 11 Sept (Malaysiaaktif) – Pengembaraan menaiki kereta api tidaklah rasa membosankan jika ditemani keluarga dan rakan karib, apatah lagi sepanjang perjalanan kira-kira 90km dari Tanjung Aru ke Beaufort dihidangkan dengan pemandangan yang indah dan lagu-lagu ceria dendangan artis PENTARAMA.

Kereta api yang banyak menyimpan nostalgia kepada para pesara. 

Kereta api yang banyak menyimpan nostalgia kepada para pesara (foto:Fauzrina Bulka)

Lebih manis lagi apabila 120 peserta program Nostalgia Kembara Merdeka Berkeretapi dibekalkan dengan telur rebus, kacang goreng dan kuih kochung agar dapat mengimbau kembali kenangan menikmati makanan ringan untuk mengalas perut ketika menaiki kereta api suatu ketika dahulu.

Program Nostalgia Kembara Merdeka ini merupakan anjuran Persatuan Pesara Jabatan Penerangan Sabah, Kelab Anggota Jabatan Penerangan Sabah (KAPSA) serta Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah yang turut mendapat tajaan dan sumbangan dari Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Awang Sahari; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun dan ADUN Membakut, Datuk Mohd Ariffin Arif.

Artis PENTARAMA yang menghiburkan peserta sepanjang perjalanan dari Tanjung Aru ke Beaufort. 

Artis PENTARAMA yang menghiburkan peserta sepanjang perjalanan dari Tanjung Aru ke Beaufort (foto:Fauzrina Bulka)

Menurut wakil Persatuan Pesara JaPen, Ahmad Mahmood idea untuk mengadakan program ini adalah apabila dia terjumpa sekeping gambar yang dirakam pada tahun 1981 ketika beliau ditugaskan menulis artikel berhubung penamatan perkhidmatan kereta api wap dari Tanjung Aru ke Beaufort.

“Idea tersebut saya kongsi bersama-sama rakan seangkatan yang merupakan mantan anggota JaPen.

Ahmad (kiri) bersama beberapa orang pesara JaPen.

Ahmad (kiri) bersama beberapa orang pesara JaPen.

“Ramai yang bersetuju dan ada yang mencadangkan agar program ini perjalanannya diteruskan hingga ke Tenom tapi saya minta mereka tunggu kelulusan penubuhan Persatuan Pesara JaPen agar kami dapat menganjurkannya bersama.

“Alhamdulillah pada Julai lepas saya telah kemukakan cadangan ini kepada Timbalan Pengarah JaPen Sabah, Yunus Saprin dan beliau bersetuju untuk bersama-sama dengan Persatuan Pesara JaPen membantu menyelaras program Nostalgia Kembara Merdeka Berkeretapi yang julung kali diadakan.

Norzawiyah (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Leonard (kanan).

Norzawiyah (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Leonard (kanan).

“Ini merupakan sumbangan kami iaitu idea pertama bagi jabatan yang bertujuan untuk menanamkan semangat patriotik untuk mengibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Hari Malaysia.

“Selain daripada itu, kami di kalangan para pesara juga ingin melakukan jejak kasih di kalangan pesara-pesara yang ada dalam kawasan-kawasan yang akan kami lalui seperti di Papar, Bongawan, Beaufort di mana kami juga dapat bertemu kembali dan mengenang masa silam kami semasa era 60-an hingga lewat 90-an,”ujar Ahmad.

Para peserta melaungkan MERDEKA sebelum memulakan pengembaraan.

Para peserta melaungkan MERDEKA sebelum memulakan pengembaraan.

Menerusi pengalaman lalu beliau, selain menggunakan perkhidmatan kereta api ke sekolah, dia dan keluarga turut menggunakannya untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Yang lucu, ketika itu kita tidak boleh menjenguk keluar tingkap kerana kereta api wap mengeluarkan bara api kecil dan jika terkena baju tanpa kita sedar baju kita akan terbakar dan berlubang.

Awang Husaini dan Uda memegang bendera bersedia untuk pelepasan di stesen Keretapi Putatan.

Awang Husaini dan Uda memegang bendera bersedia untuk pelepasan di stesen Keretapi Putatan.

“Oleh itu saya membawa kembali nostalgia ke era milenium ini bahawa perkhidmatan kereta api harus diberikan tumpuan dan diberikan publisiti yang meluas kerana ia merupakan satu perkhidmatan awam yang murah, selesa dan selamat.

“Kita juga ingin menarik pelancong tempatan dan luar negara untuk mengalami pengalaman menaiki kereta api.

Kuiz Merdeka yang dikelolakan oleh Ahmad antara aktiviti yang diatur sepanjang perjalanan.

Kuiz Merdeka yang dikelolakan oleh Ahmad antara aktiviti yang diatur sepanjang perjalanan.

“Kerajaan negeri pada masa kini mencadangkan bahawa pembinaan landasan kereta api akan cuba dibina ke Kudat dan Tawau melalui Pedalaman Bawah dan itu satu usaha yang bagus,”katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), Leonard Stephen Poyong berkata program tersebut merupakan salah satu pengisian yang amat baik untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia.

Suasana ceria di dalam keretapi apabila peserta terhibur dengan nyanyian artis PENTARAMA.

Suasana ceria di dalam keretapi apabila peserta terhibur dengan nyanyian artis PENTARAMA.

“Program yang diatur ini merupakan satu jajaran dari stesen Tanjung Aru ke Beaufort yang secara tidak langsung akan melibatkan masyarakat-masyarakat yang berada di kiri kanan laluan jajaran kereta api ini.

“Ini umpama satu promosi juga untuk JKNS dan dengan itu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada JaPen Sabah kerana telah melibatkan kami untuk bersama-sama dalam menjayakan program ini, ia memberikan peluang kepada JKNS untuk memberitahu kepada masyarakat umum bahawa JKNS ini masih relevan dan masih menawarkan perkhidmatannya.

Aidi (duduk di tengah) hadir bagi menunjukkan sokongan padu kepada peserta kembara.

Aidi (duduk di tengah) hadir bagi menunjukkan sokongan padu kepada peserta kembara.

“Program ini juga kita jadikan platform untuk memberitahu dan menguar-uarkan bahawa kita akan cuba membuat pembaharuan dari semasa ke semasa,”jelasnya.

Kata Leonard, dahulu perkhidmatan kereta api ini dibina oleh pihak British semasa era penjajahan dan pada ketika itu, aset dan landasan juga sangat terhad dengan penggunaan enjin wap dan landasan yang agak primitif di mana ia tidak boleh menampung beban atau muatan yang berat.

Ahmad Hasan (tiga dari kanan) mengedarkan makanan ringan telur rebus, kacang dan kochung kepada Yunus (dua dari kanan)

Ahmad Hasan (tiga dari kanan) mengedarkan makanan ringan telur rebus, kacang dan kochung kepada Yunus (dua dari kanan)

“Tetapi sekarang kita mempunyai kereta api jenis Diesel Multiple Unit (DMU) serta aset-aset dari Jepun, India, China dan sebagainya manakala jajaran kereta api sekarang akan cuba ditambah.

“Jika sekarang jajaran kita kira-kira sejauh 140km dan kita akan cuba tambah laluan hingga ke Kudat, dan sekarang kita cuba buka kembali jalan dari Tenom ke Melalap serta membuat penambahbaikan pemodenan laluan dari Tanjung Aru ke Tenom.

Ahmad Hassan mengedarkan bungkusan makana ringan telur rebus, kacang dan kochung kepada semua peserta.

Ahmad Hassan mengedarkan bungkusan makanan ringan telur rebus, kacang dan kochung kepada semua peserta.

“Sekarang ini lebih RM100 juta peruntukan sedang dibelanjakan masa ini untuk menambah baik aset dan juga landasan-landasan kita membuktikan kami sedang bergerak ke hadapan,” kata Leonard.

Tambahnya, JKNS juga tidak bertoleransi dengan kemalangan dan mereka sedaya upaya cuba mengelakkannya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan dan Dasar Negara, Azman Sipan (kiri) terhibur dengan persembahan kulintangan si cilik.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan dan Dasar Negara, Azman Sipan (kiri) terhibur dengan persembahan kulintangan si cilik.(foto:Fauzrina Bulka)

“Kita mahu konsisten, kelewatan juga kita mahu kurangkan, kita mahu JKNS yang mesra pelanggan, lebih menyeluruh dan holistik, itulah perubahan sekarang dan dulu.

“Kalau dulu kereta api digunakan oleh pihak British untuk mengangkut hasil kekayaan, tetapi kini ia lebih kepada rakyat.

Landasan keretapi yang telah dinaiktaraf untuk menampung muatan yang lebih sesuai.

Landasan keretapi yang telah dinaiktaraf untuk menampung muatan yang lebih sesuai.(foto:Fauzrina Bulka)

“Saya berharap program seumpama ini dapat diulang lagi pada tahun hadapan, tapi mungkin pada masa akan datang kita boleh gunakan kereta api stim enjin yang sedang dibuat penyelenggaraan supaya nampak lebih nostalgia,”ujarnya.

Program kembara tersebut bermula di Stesen Keretapi Tanjung Aru, dilepaskan oleh Leonard sambil diiringi Pengarah Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka dan Timbalannya, Yunus Saprin.

Pekan Membakut antara yang dilalui ketika Nostalgia Kembara Merdeka Berkeretapi (foto:Fauzrina Bulka)

Pekan Membakut antara yang dilalui ketika Nostalgia Kembara Merdeka Berkeretapi (foto:Fauzrina Bulka)

Sepanjang perjalanan, beberapa acara diadakan iaitu kuiz merdeka berkaitan sejarah Sabah dan Keretapi Negeri Sabah, persembahan buskers, puppet show, pertandingan swafoto di samping tazkirah yang disampaikan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Sabah, Samin Ongki.

Rombongan 120 orang itu kemudian ke Stesen Keretapi Putatan dan disambut serta dilepaskan oleh Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari; Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai dan ADUN Dilantik, Ronnie Loh.

Ariffin melancarkan flag off untuk pelepasan dari stesen keretapi Beaufort.

Ariffin melancarkan flag off untuk pelepasan dari stesen keretapi Beaufort.

Kemuadian, rombongan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar dan Ahli Parlimen, Ahmad Hassan menanti di Stesen Keretapi Papar bersama persembahan gambus.

Kumpulan Basikal Tua (Retro) turut tidak melepaskan peluang menanti ketibaan peserta kembara di Stesen Keretapi Membakut dengan berbaris di sepanjang platform bersama basikal antik masing-masing.

Yunus (dua dari kiri) bersama para pemimpin ketika gimik perasmian Azizah.

Yunus (dua dari kiri) bersama para pemimpin ketika gimik perasmian Azizah.

Selain itu, kumpulan kulintangan oleh penghibur cilik turut menghiburkan rombongan dan majlis pelepasan disempurnakan oleh ADUN Membakut, Datuk Arifin Arif sebelum sama-sama menyertai rombongan ke destinasi terakhir iaitu Stesen Keretapi Beaufort.

Di stesen itu, rombongan disambut oleh Datuk Azizah Mohd Dun bersama ADUN Lumadan, Matbali Musa disusuli dengan majlis perasmian dan Titik Sentuhan Jejak Kasih Pesara JaPen Sabah sebelum rombongan berpatah balik ke Kota Kinabalu pada sebelah petangnya.

ER

Tinggalkan komen anda