Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Khazanah Alam Penuh Misteri di Gua Bewah

By 26 September 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norlydiana Ishak (Putrajaya)/UNESCO IHP Malaysia

HULU TERENGGANU, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Di sebalik pemandangan yang indah dan menakjubkan di Tasik Kenyir yang merupakan antara aset pelancongan utama Terengganu, tersimpan pelbagai khazanah ketamadunan manusia.

Gua Bewah antaranya, sebuah gua yang terletak di Gunung Bewah dalam kawasan Tasik Kenyir yang mempunyai keluasan kira-kira 2,590 km atau 260,000 hektar ini banyak menyimpan khazanah prasejarah zaman Hoabinhian di mana manusia prasejarah telah mendiaminya sekitar 13,400 tahun dahulu berdasar pentarikhan radiokarbon dalam tahun 2010.

Pada hari kedua Ekspedisi Sumber Air Negara, para peserta dibawa menerokai Gua Bewah yang merupakan antara gua terbesar di Tasik Kenyir dengan pintu masuk melengkung 40 meter di atas paras air.

Sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini perlu berjalan merentasi laluan buatan manusia malah mendaki dan memanjat ratusan anak tangga.

Para peserta ekspedisi menerokai bahagian dalam Gua Bewah dengan bergantung kepada cahaya yang dipancarkan oleh lampu kepala.

Para peserta ekspedisi menerokai bahagian dalam Gua Bewah dengan bergantung kepada cahaya yang dipancarkan oleh lampu kepala.

Gua ini telah dilengkapi dengan tangga serta jalan kayu yang memudahkan para pengunjung untuk mendaki sambil melihat kawasan sekitar gua dengan lebih selamat serta di kiri dan kanan tangga dapat diperhatikan struktur batuan yang berbeza-beza menghiasai gua ini.

Nurul Anis Najihah Mohd Yazid, 20, pelajar Sarjana Muda Sains Gunaan (Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti) Universiti Malaysia Terengganu, berkata beliau berasa sangat teruja dapat menjelajahi lokasi penuh misteri Gua Bewah yang memerlukan stamina yang cukup kuat bagi memanjat sehingga 200 anak tangga untuk menuju ke terowong gua.

“Di puncak gua kami dapat menyaksikan artifak primitif yang digunakan ketika Zaman Batu seperti periuk, kapak dan peralatan dapur dan lebih misteri Gua Bewah turut menyimpan rangka manusia purba tertua yang berusia kira-kira 16,000 tahun.

“Gua Bewah juga mempunyai sebuah mini muzium yang menempatkan gambar serta artifak yang ditemui di dalam gua ini dan kami juga berpeluang melihat sendiri bentuk unik salah satu pintu lubang yang kelihatan seperti orang sedang menunaikan solat dalam keadaan duduk antara dua sujud,” ujarnya kepada Malaysiaaktif.

Para peserta Ekspedisi Sumber Air Negara bergambar di hadapan Gua Bewah.

Para peserta Ekspedisi Sumber Air Negara bergambar di hadapan Gua Bewah.

Tambah Anis, di sini juga para pengunjung dapat melihat kepelbagaian bentuk dan saiz stalaktit dan stalagmit yang kelihatan seperti marmar terukir indah kerana batuannya terukir penuh kesenian alam semula jadi.

Gua Bewah yang merupakan salah satu gugusan pulau-pulau di Tasik Kenyir, di sini yang sudah lama diterokai untuk kajian arkeologi serta masih berterusan sehingga ke hari ini dan bagi pencinta alam, gua-gua di Tasik Kenyir umpama kewujudan lukisan alam yang penuh dengan keunikan dan misteri.

Bewah yang membawa maksud kenduri merujuk aktiviti penduduk kampung sekitar gua itu dahulu yang sering meminjam keperluan dapur dan pinggan mangkuk daripada ‘penghuni misteri’ bagi mengadakan majlis kenduri.

Jika anda berhajat berkunjung ke Gua Bewah, anda dinasihatkan membawa lampu suluh dan penutup hidung jika alah dengan bau najis kelawar, berjalan mengikut tangga yang disediakan dan jaga tutur kata ketika berada di dalam gua ini.

-SH

Tinggalkan komen anda