Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Sambutan Hari Pelancongan Sedunia Lonjak Ekonomi Negara

By 28 September 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Azuraini Abd Majid/ Parameswary Lekshmanan (Kuala Lumpur)

 

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Malaysiaaktif) – Sejak  1980, 27 September disambut oleh Pertubuhan Pelancongan Sedunia sebagai Hari Pelancongan Sedunia. Amalan ini diwujudkan pada Sesi Ketiga Perhimpunan Agung UNWTO di Torremolinos, Sepanyol  pada September 1979. Hari ini bertempat di EQ Hotel Kuala Lumpur, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia dan PATA Malaysia Chapter (PMC) telah mengadakan Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2019.

 

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamad Bakhtiar Wan Chik, Malaysia sedar bahawa kemajuan teknologi dalam pelancongan akan memecahkan sempadan industri sedia ada. Ini sekali gus  membuka peluang pertumbuhan ekonomi seluasnya di peringkat global dengan inisiatif pelancongan pintar selaras dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Mohamad Bakhtiar (tiga dari kiri) menegaskan bahawa Malaysia tetap menjadi pilihan destinasi pelancongan utama khususnya dalam kalangan pelancong dari China ketika ditemui dalam sidang media.

Mohamad Bakhtiar (tiga dari kiri) menegaskan bahawa Malaysia tetap menjadi pilihan destinasi pelancongan utama khususnya dalam kalangan pelancong dari China ketika ditemui dalam sidang media.

“Selain itu, insentif khusus sedang dirangka untuk menarik pelaburan dalam sektor pelancongan yang menjadi pemangkin kepada perlindungan alam sekitar, pemuliharaan dan pelestarian kebudayaan dan warisan tempatan sejajar dengan perkembangan teknologi pendigitalan,” kata Mohamad Bakhtiar ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2019 di sini hari ini.

 

Dalam masa yang sama, Jabatan Perangkaan Malaysia turut mengambil kesempatan buat julung kalinya menerbitkan dapatan hasil Kajian Pelancongan Domestik bagi  2018. Berdasarkan kajian ini, Selangor mencatatkan kehadiran pelancong yang paling ramai iaitu 30.2 juta orang dengan menyumbang  dapatan sebanyak RM13.2 billion diikuti Kuala Lumpur (RM10.2 billion), Sarawak (RM8.1 billion), Sabah (RM7.5 billion) dan Pahang (RM7.4 billion).

 

Pada 2018, industri pelancongan telah menyumbang sebanyak 15.2% kepada pertumbuhan ekonomi negara berbanding 14.6% pada tahun 2017. Sumbangan langsung industri pelancongan kepada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) merekodkan peningkatan sebanyak 7.6% dengan nilai RM94.4 billion berbanding RM87.8 billion pada 2017.

 

Turut hadir  Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Isham Ishak, Ketua Pengarah Perangkaan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

 

-AO

Tinggalkan komen anda