Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Lebih 7000 Pengunjung Banjiri Stadium Perpaduan Sempena Sambutan Hari Malaysia 2019

By 16 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

KUCHING, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Perpaduan, di sini dibanjiri dengan kehadiran lebih 7000 orang sempena meraikan ulang tahun ke-56 pembentukan Malaysia, malam tadi.

Sambutan diserikan dengan kehadiran Yang di Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Menurut kenyataan media daripada Jabatan Penerangan, persembahan permainan bayang berjudul United We Stand, Divided We Fall yang menampilkan 16 orang penari menjadi daya penarik utama majlis kerana keunikan bentuk persembahannya yang memaparkan mesej perpaduan.

“Selain itu, warna-warni kehidupan rakyat serta paparan peristiwa penting mengikut era diterjemah menerusi persembahan khas bertajuk The Journey yang melibatkan 500 orang penari serta pelakon yang daripada pelbagai persatuan kebudayaan tempatan dan juga termasuk artis tari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

“Simbolik Hari Malaysia disempurnakan dengan acara memukul ‘Gendang Perpaduan’ penuh semangat oleh Tun Taib bersama tetamu kenamaan lain,” menurut kenyataan tersebut.

Sebelum majlis dirasmikan, perarakan masuk pasukan Konvoi Jalur Gemilang diiringi kumpulan kadet menyerahkan Jalur Gemilang kepada Tun Taib yang kemudiannya menyaksikan upacara menaikkan Jalur Gemilang tersebut oleh pasukan Tentera Laut diRaja Malaysia yang diiringi dengan lagu Negaraku.

“Turut menjadi tumpuan adalah persembahan video animasi berformat 2.5D menggunakan gambar-gambar lama bersejarah negara dibaik pulih menggunakan teknologi Artificial Intelligence yang menyingkap kembali detik-detik sejarah pembentukan Malaysia.

“Pada masa yang sama, orang awam di sekitar Kuching turut berpeluang menyaksikan perarakan enam buah kereta berhias yang memaparkan mesej era pembangunan Malaysia sejak zaman 60-an sehingga ke masa hadapan bermula dari Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan bergerak menuju beberapa lokasi di Bandaraya Kuching sebelum berakhir di iCom Square,” menurut kenyataan itu lagi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg serta isteri dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal serta isteri.

-SH

Tinggalkan komen anda