Laporan/foto:Fauzrina Bulka/Azman Jumat(Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 16 Sept (Malaysiaaktif) – Seringkali dipersoal sumbangan kita untuk negara, dan mungkin juga sudah pelbagai cara yang telah kita lakukan untuk menunjukkan rasa kasih kita, tetapi adakah ia sudah mencukupi?
Benarlah kata bidalan, jauh berjalan luas pandangan.
Menyertai Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2019 baru-baru ini banyak membuka mata dan pemikiran betapa sebenarnya rakyat Malaysia ini masih kukuh semangatnya serta sayangnya pada tanah air.
Untuk laluan terakhir KMJG, rombongan mengikut laluan Kota Kinabalu – Sipitang untuk mengedarkan bendera dengan diketuai oleh Ketua Konvoi, Zulhanin Hasni.
Sekaligus, diri berasa kerdil, kerana rupanya mengibarkan bendera setahun sekali pada badan kenderaan di bulan Ogos itu cuma perkara biasa, berbanding ramai yang lain mampu mengekspresikan perasaan masing-masing dengan pelbagai cara yang lebih unik.
Salah seorang daripadanya ialah Jamal Jakim, yang mungkin semangat patriotiknya diwarisi daripada Allahyarham ayahandanya, Jakim Kemin atau Wak Jakim yang bermula dari sebatang bendera, hingga kini beribu jumlahnya menghias tanah milik keluarga yang sudah didiami kira-kira 40 tahun.
Jika melalui Kampung (Kg) Jaya Lumadan, pasti sesiapa sahaja yang melalui jalan utama dapat melihat kawasan rumahnya yang dipenuhi kain berwarna warni, malah dengan penjagaan yang rapi, ada antara bendera ini masih cantik di kibar walau dibeli dalam tempoh 14 tahun lamanya.
“Kami hias bendera bermula dari rumah sehingga simpang Kg. Lumadan dengan ratusan bendera yang terpanjang yang kami jahit sendiri demi Sambutan Hari Kebangsaan dan kami tidak pernah jemu melakukannya secara serius selama 16 tahun.
“Terkenang pada tahun 1963, ketika itu belum ada lagi bendera sebegini dijual, dan kami hanya dapat satu sahaja, jadi saya dan bapa pergi ke hutan untuj mencari kayu yang lurus untuk dipacak di hadapan balairaya Kg. Lumadan.
“Ketika itu, cukup cuma satu bendera, tetapi hati sudah sangat bersemangat dan mampu menyemarakkan semangat patriotik di hati setiap kami.
“Kenangan bersama arwah bapa, sebolah-bolehnya dia mahu kami hias rumah dengan bendera, bambu kami cari sendiri hingga 100 batang di dalam hutan untuk dijadikan tiang,”kongsinya.
Semangat mereka memang hebat, dan seharusnya diberi pujian dan tidak hairan jugalah apabila pada 2010 mereka dijemput ke Putrajaya dan memperoleh piala serta sijil daripada kerajaan persekutuan ketika mewakili Sabah memenangi kategori individu dalam Program Keceriaan Bulan Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan.
“Kami menang mungkin sebab setiap tahun kami bina pintu gerbang yang memakan kos kira-kira RM600 dan bapa tidak pernah berkira serta sanggup keluarkan duit sendiri asalkan rumahnya dihias cantik.
“Bendera yang kami beli setiap tahun akan dicuci bersih, disimpan di dalam plastik, diikat di dalam kotak serta diletak ubat semut supaya dijauhi dari serangga,”katanya.
Menurut Jamal juga, saban tahun mereka akan mulai memasang dan menghias bendera pada pertengahan bulan Julai, dan akan diturunkan selepas sambutan Hari Malaysia.
Tambahnya, dana untuk menghias rumahnya diperoleh daripada 9 orang anak serta kaum keluarga kerana dia sememangnya mendapat sokongan penuh dari semua, malahan anak-anak juga tolong panjat di tempat tinggi jika perlu.
Apa yang menarik, semangat mereka tidak cuma setakat itu, tetapi yang sangat membanggakan seluruh ahli keluarga ini akan bersama-sama berkumpul perkarangan rumah menanti detik tengah malam tanggal 31 Ogos untuk sama-sama menyanyikan lagu Negaraku sambil Jamal menaikkan bendera di tiangnya.
“Pernah suatu ketika ribut kuat melanda kampung hingga bendera yang sudah dipasang patah dan diterbangkan hingga ke jalan raya, walaupun banyak bambu yang patah namun kami tidak kisah untuk memperbaikinya semula.
“Saya memang sayang dan bangga dengan Jalur Gemilan ini dan tidak suka melihat jika ada orang sengaja memasang bendera terbalik, dan seboleh-bolehnya saya akan ke rumahnya untuk meminta dia perbetulkan semula.
“Pada saya mereka yang tidak sensitif dengan pemasangan bendera dengan betul memang tidak hormat pada edaulatan negara. Bendera ini tidak boleh dibuat main. Sedangkan untuk pasang pun saya tidak letak di tanah kerana hormat dengan bendera ini.
“Apatah lagi abang saya dulu seorang askar, maka saya turut perjuangkan dengan menjaga bendera ini jadi saya tidak mahu jika bendera kita dibakar atau dibuang sesuka hati, jika saya lihat pasti saya nasihati mereka,”ujar Jamal.
Harapannya kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan, dan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia hendaklah disambut dengan baik, aman dan damai.
Beliau turut menyeru agar semua rakyat Malaysia untuk turut memasang bendera di kawasan masing-masing dan jangan hanya berharap bendera diberi secara percuma apatah lagi ia boleh diulang pakai setiap tahun malah boleh ditambah lagi supaya nampak lebih meriah.
ER