Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

MB: Selangor Rancang Pelan Pembangunan 2020-2030

By 18 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memaklumkan langkah Kerajaan Negeri yang sedang serius melakar pelan perancangan kemajuan dan pembangunan untuk 10 tahun ke hadapan.

Menurutnya, pelan yang bakal dinikmati seluruh rakyat Selangor itu sedang dalam fasa mendapatkan maklum balas penduduk negeri ini sebelum ianya dilaksanakan nanti.

“Buat masa ini Kerajaan Negeri sedang dapatkan maklum balas daripada penduduk dalam menggerakkan perancangan sepanjang tempoh tahun 2020 hingga 2030.

“Komunikasi antara Kerajaan Negeri serta masyarakat harus dipertingkat dalam memastikan pembangunan negeri berada di landasan terbaik. Kita perlu mendengar banyak suara supaya kita dapat meneliti setiap kepentingan dan keutamaan yang diletakkan oleh rakyat,” katanya.

Amirudin berkata pembangunan dan kemajuan yang dinikmati di Selangor tidak dapat ditandingi negeri-negeri lain di Malaysia ketika ini.

“Setakat ini Selangor masih tidak dapat ditandingi negeri lain, khususnya daripada aspek kemajuan dan pembangunan aktiviti ekonomi. Kita juga sedang menumpukan pembangunan aplikasi pintar.

Amirudin menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat Kampung Baru Batu Caves.

Amirudin menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat Kampung Baru Batu Caves.

“Kita harus bersaing dengan kuasa besar lain dan meletakkan ‘tanda aras’ bersama bandar-bandar utama di dunia,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia Peringkat Kampung Baru Batu Caves, di Padang Awam Batu Caves, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim, Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 8, Mohd Faizal Ismail dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Batu Caves, Adnan Mohd Yatim.

Mengulas program yang diadakan itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata ia merupakan platform untuk merapatkan hubungan kekeluargaan antara pemimpin setempat dan penduduk dalam kalangan komuniti.

“Ini adalah satu usaha murni di saat kita menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu dan memperingati Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun.

“Malah, ianya merupakan suatu perkara penting yang perlu sentiasa dititk beratkan bagi mengukuhkan perpaduan dan muafakat dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda