Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Merdekakan Dirimu: Hentikan Keganasan Rumah Tangga

By 4 September 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/Foto: Siti Noor Asmani Che Mat Saleh (Tumpat)

TUMPAT, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Keganasan rumah tangga merupakan satu masalah yang jarang dilaporkan di mana mangsa selalunya akan menyembunyikan kecederaan fizikal ataupun mental yang dihadapi untuk masa yang lama.

Sehubungan itu, Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR), entiti di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Pertubuhan Cakna Rakyat Tumpat telah mengambil tanggungjawab sosial untuk menyedarkan masyarakat dengan menganjurkan Program Merdekakan Dirimu Hentikan Keganasan Rumah Tangga di Sinaran Resort, Kampung Baru Nelayan, Tumpat pada 31 Ogos baharu ini.

Pengerusi MAWAR YADIM, Dr. Hafidzah Mustakim dalam ucapannya memberitahu kebanyakan mangsa keganasan adalah kaum wanita dan kanak-kanak namun kes lelaki didera tidak terkecuali dari masalah ini juga, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sejumlah 56 lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga dari Jun 2017 hingga Jun 2018.

“Orang ramai atau mangsa sendiri boleh melaporkan kejadian keganasan dengan hadir ke balai polis yang terdekat atau membuat aduan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah atau cara yang paling mudah dengan menghubungi talian Kasih 15999,” tambah Dr.Hafidzah.

kehadiran orang ramai

kehadiran orang ramai

Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed ketika merasmikan program berkata keganasan rumah tangga bukanlah pada kecederaan fizikal semata-mata, mestilah dilihat juga pada kegagalan pasangan memikul tanggungjawab masing- masing.

“Banyak akta yang telah digubal untuk melindungi kaum yang lemah. Di Tumpat banyak kes kahwin di sempadan (Thailand) tidak dilaporkan, ini menjadi masalah apabila ingin menuntut nafkah, mendaftarkan sijil kelahiran anak dan banyak lagi,” ujar beliau.

“Ada kes di mana suami hilang selama empat tahun dan tiada khabar berita, mahkamah ada kuasa untuk isytihar sebagai mati dan isteri boleh menuntut cerai tetapi ramai yang tidak tahu akan akta ini. Ini juga adalah contoh keganasan rumah tangga,” tambahnya lagi.

Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Negeri Kelantan (PPSK), Che Rosmah Mohd Zain yang di temui berkata dalam melayari bahtera rumah tangga, jika terjadi perselisihan faham antara pasangan eloklah diselesaikan sendiri dan suami isteri tak boleh ego serta jangan menggunakan kekerasan fizikal bagi menunjukkan kekuasaan, rujuk mahkamah sebagai jalan alternatif terakhir.

Bagi Ramlah Che Yakob, 41, dari Kampung Telaga Bata melahirkan kebimbangan dengan kesan trauma didera bukan saja terhadap isteri malah terhadap anak mangsa juga.

“Kesannya anak itu akan mengulangi apa yang dilihat dan dilakukan bila dewasa kelak,” ujarnya.

Namun beliau berterima kasih dengan adanya program ini boleh menambahkan lagi pengetahuan dan mengetahui hak-hak wanita dari segi perundangan.

Che Rosmah Mohd zain, peguam syarie. berdiri 2 dari kanan

Che Rosmah Mohd zain, peguam syarie. berdiri 2 dari kanan

Topik hangat ini juga turut menarik minat peserta lelaki untuk tidak berganjak dari awal sehingga akhir program.

Mohd Shukri Mohd Taib, 54, menjelaskan sepatutnya lebih ramai kaum lelaki dijemput hadir kerana mereka terlibat secara langsung dalam isu ini.

“Majoriti yang hadir hari ini kaum wanita, alangkah bagusnya jika pihak suami hadir bersama kerana banyak ilmu pengetahuan boleh diterima selain memberi peringatan awal agar tidak bertindak sewenangnya terhadap pasangan kerana banyak peruntukan undang-undang yang diperuntukkan untuk melindungi hak wanita,” luahnya lagi.

Program yang bermula pukul 9.00 pagi ini berakhir pukul 1.30 tengah hari turut diadakan sesi bual bicara dan sesi soal jawab, panel bual bicara terdiri dari Pegawai Ibu Pejabat Polis Kelantan, Peguam Syarie dan Pegawai Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Kelantan yang melibatkan lebih 100 orang peserta.

-NAZ

Tinggalkan komen anda