Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

NFCP Bukan Projek Mega – Jelas SKMM

By 4 September 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 4 Sept (Malaysiaaktif) – Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bukanlah satu projek mega seperti yang didakwa sesetengah pihak yang telah disebarkan melalui media sosial, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM berkata NFCP yang diumumkan pada 28 Ogos itu sebenarnya satu pelan yang diperlukan dan penting bagi menetapkan strategi, sasaran dan tindakan yang akan memastikan ketersediaan sambungan digital berkualiti tinggi dan mampu milik, untuk negara.

“Pelaksanaan NFCP akan berasaskan kepada dua tunggak utama. Pertamanya, satu siri projek infrastruktur yang sama ada akan dibiayai melalui dana Peruntukan Perkhidmatan Universal (USP) atau dilaksanakan secara komersial, iaitu oleh pemegang lesen berkaitan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) sendiri.

“Projek infrastruktur ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun di seluruh negara dan akan menfaatkan teknologi yang berbeza, yang antara lain termasuklah gentian optik, teknologi tanpa wayar dan satelit,” kata SKMM dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi tunggak kedua, SKMM berkata, ia melibatkan penetapan polisi yang betul, bagi memudahkan pelaksanaan infrastruktur di seluruh negara.

“Ini termasuklah polisi-polisi yang akan menghapuskan sekatan yang menghalang pelaksanaan infrastruktur yang cepat dan kos efektif di peringkat negeri, mengoptimumkan penggunaan spektrum bagi memastikan kualiti jalur lebar mudah alih yang berkualiti, menambah baik landskap persaingan dalam industri, mempromosikan penggunaan infrastruktur secara bersama dan lain-lain polisi berkaitan,” kata SKMM.

Berkaitan dakwaan di media sosial yang kos NFCP telah meningkat dari RM1 bilion ke RM21.6 bilion sejak pengumumannya dibuat dalam Bajet 2019, SKMM berkata, kerajaan akan melaksanakan projek itu dengan peruntukan permulaan RM1 bilion, bertujuan membiayai infrastruktur terpilih untuk 2019 bagi menyokong sasaran NFCP, termasuk memperluaskan liputan mudah alih dan menyediakan penyambungan gentian optik ke premis.

Pelan itu akan membangunkan infrastruktur jalur lebar negara, bagi memastikan peruntukan spektrum lebih cekap bagi mencapai sasaran kelajuan 30 Mbps di kawasan luar bandar dan pendalaman di Malaysia, dalam tempoh lima tahun sebagai sebahagian daripada pelan keseluruhan bagi mencapai infrastruktur berkelas dunia pada harga yang berpatutan.

“Jumlah keseluruhan RM21.6 bilion itu juga merupakan satu anggaran, dan jumlah itu juga boleh berubah apabila NFCP diperbaiki lagi dari masa ke semasa. Bagaimanapun keutamaan SKMM ialah bagi mencari cara yang berkos efektif dalam membangunkan infrastruktur digital, melalui mengoptimumkan infrastruktur sedia ada, mengelakkan pertindihan, dan manfaatkan dasar yang memudahkan,” kata kenyataan itu.

SKMM juga menjelaskan NFCP akan melibatkan banyak projek infrastruktur, termasuk projek komersial yang dibiayai oleh pemegang lesen sendiri, yang akan memanfaatkan teknologi berbeza.

“Kerajaan ataupun SKMM tidak akan menentukan teknologi mana yang perlu digunakan penyedia, kerana ianya adalah keputusan yang perlu dibuat oleh pemegang lesen.

“Oleh sebab itu, adalah salah untuk menamakan Opcomm (Opcomm Holdings Berhad) sebagai penerima faedah terbesar NFCP,” jelas SKMM berkaitan dakwaan dalam media sosial mengatakan syarikat tersebut merupakan penerima faedah terbesar NFCP.- BERNAMA

Tinggalkan komen anda