Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Program Mural dan Arca Awam, Street Art@Labuan dilaksanakan sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik, kerajaan sedang giat membuat persiapan secara holistik bagi menyambut ketibaan pelancong luar negara.
“Program ini diadakan khusus bersempena persediaan menyambut TMM 2020 yang diisi dengan pelbagai program serta tarikan baharu.
“TMM 2020 diharapkan dapat membantu menjana peningkatan ekonomi di Labuan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan di negara ini,” katanya semasa merasmikan Program Mural dan Arca Awam, Street Art@Labuan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama-sama penggiat seni di sini hari ini.
Penganjuran program itu juga katanya bertujuan membantu artis-artis seni tempatan serta karyawan meningkatkan kemahiran melalui perkongsian maklumat serta kepakaran.
“Kepakaran artis tempatan dan semenanjung yang dibawa khas berjaya mempromosi seni sebagai satu mekanisme pelancongan baharu, dan berharap dapat memberi manfaat dan membantu para artis serta persatuan kesenian tempatan mengembangkan program-program seni pada masa hadapan.
“Selain itu, syarikat swasta digalakkan menaja aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan seperti ini di mana syarikat akan dapat menikmati insentif potongan cukai sehingga RM700,000.00 untuk taksiran tahun semasa,” katanya lagi.
Beliau turut mengajak warga Labuan memberi lebih pendedahan kepada pulau ini terutamanya pendedahan di media sosial.
“Saya percaya kita semua mempunyai saluran media sosial pilihan, jadi sama-sama kita membantu mempromosi Labuan dengan meletakkan #Labuan, #Street Art, #Malaysia, #Tourism dan sebagainya di Instagram, Facebook dan Twitter,” katanya.
Hadir sama Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman, Ketua Pengarah Balai Seni Negara Prof. Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dewa dan Pengarah MOTAC Labuan Mohd Firdaus Zakaria.
-SH