Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 27 Sep (Malaysiaaktif) – Pertandingan Kemahiran Kolej Komuniti Malaysia (MyCCSkills) merupakan medan untuk memilih dan mengiktiraf pelajar Kolej Komuniti yang mempunyai kemahiran yang unggul.
Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Wan Mohamad Nasir Wan Abdul Rahman berkata, pertandingan tersebut memberi kesedaran kepada masyarakat pentingnya bidang kemahiran untuk pembangunan negara.
”Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merupakan laluan yang penting bagi negara seperti Malaysia untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berinovasi dan mampu menghadapi saingan pada peringkat global.
“Pertandingan seperti ini mampu meningkatkan kemahiran dan daya kreativiti serta menguatkan jati diri pelajar agar tidak mudah gentar dalam menghadapi persaingan dan pelbagai cabaran,” katanya.
Jelas Wan Mohamad Nasir, seramai 257 peserta daripada 71 buah Kolej Komuniti seluruh negara bersaing melalui empat kluster iaitu Rekaan dan Kecantikan, Penyelenggaraan, Teknologi Maklumat serta Hospitaliti.
“Sebanyak 12 bidang lain juga dipertandingkan secara serentak di lima buah Kolej Komuniti iaitu Kuala Langat, Hulu Langat, Selayang, Kota Melaka dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat.
“Peserta yang berkelayakan akan diberi peluang untuk mewakili institusi ke pertandingan WorldSkills Malaysia Kategori Belia (WSMB), seterusnya ke peringkat Asia dan dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Pertandingan Kemahiran MyCCSkill 2019 dan menyampaikan hadiah kepada pemenang di Kolej Komuniti Selayang, Bandar Baru Selayang, di sini semalam.
Pemenang bidang Terapi Kecantikan dan SPA adalah Siti Nur Umaira Shahira Mohd Sabri (Kolej Komuniti Muar), Dandanan Rambut dimenangi Muhammad Hadi Adnan (Kolej Komuniti Kota Melaka) serta bidang Membina dan Reka Laman Sesawang dimenangi Saifulrahman Salinderi (Kolej Komuniti Tawau).
Peserta dari Kolej Komuniti Langat, Muhammad Raziz Shariffuddin memenangi bidang Perisian IT, Teknologi Rekaan Grafik dimenangi Muhamad Shukri Azman (Kolej Komuniti Paya Besar ), Teknologi Automobil dimenangi Muhammad Iqbal Fakhri Mat Tajudin (Kolej Komuniti Bandar Baharu) dan Pemasangan Elektrikal dimenangi Faiq Najmuddin Abd Ghafar (Kolej Komuniti Kuala Langat).
Bidang Penyaman Udara dan Peti Sejuk dimenangi Alvister Tan (Kolej Komuniti Kota Marudu), Teknologi Fesyen dimenangi Sharifah Nur Izzuna Bt Syed Khalil (Kolej Komuniti Batu Gajah), bidang Masakan dimenangi Muhamad Amirullah Rosni (Kolej Komuniti Bukit Beruang), bidang Pastri dimenangi Anis Salwa Senapi (Kolej Komuniti Kuala Kangsar) dan Perkhidmatan Restoran dimenangi Muhammad Alif Asyraf Abdul Latif (Kolej Komuniti Sungai Petani).
-NAZ