Laporan/Foto: Jeanne J Som / Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 24 Sept (Malaysiaktif) – Penambahan tanjakan (ramp), diperlukan di jeti Menumbok bagi menampung perjalanan feri dari Labuan.
Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, Datuk Rozman Isli berkata Wilayah Persekutuan Labuan kini mempunyai dua tanjakan sementara Menumbok hanya satu tanjakan sahaja.
“Kami memohon kerjasama dari kerajaan Sabah untuk membina sebuah lagi tanjakan di jeti Menumbok secepat mungkin bagi mengelakkan kesesakan kenderaan terutamanya pada musim perayaan dan cuti sekolah.
“Permintaan perjalanan feri meningkat pada musim tersebut dan setiap hujung minggu, feri akan melakukan dua tambahan perjalanan. Hal ini menyebabkan kesesakan dan kelewatan bagi penumpang dan kenderaan berlabuh,” katanya semasa ditemui pemberita selepas kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan cadangan agar projek pembinaan jalan raya Pan Borneo disambung atau ditambah laluan dari Beaufort ke Menumbok dan WP Labuan.
Hadir sama, tujuh rombongan dewan-dewan perniagaan LABUAN yang terdiri dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan (DPMM), Dewan Perniagaan Tionghua Labuan, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Labuan, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun, Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML), Dewan Perniagaan Islam Labuan dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama).
ER