Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Perpaduan Bukan Hanya Dinikmati Tetapi Perlu Dihayati – Khalid

By 16 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Perpaduan bukan sahaja satu perkara yang dinikmati malah ianya merupakan satu perkara yang perlu dihayati seterusnya dipertahankan oleh semua.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, perpaduan rakyat juga menjadi kunci utama dalam proses pembentukan Negara Malaysia yang kita cintai.

“Salah satu dokumen yang memainkan peranan penting ke arah pembentukan Malaysia adalah Laporan Penyiasatan Suruhanjaya Cobbold yang dibentuk untuk meninjau pandangan penduduk negeri Borneo Utara dan Sarawak mengenai gagasan penubuhan Malaysia.

“Laporan itu menjadi rujukan asas dan bukti persetujuan majoriti rakyat Borneo Utara dan Sarawak untuk sama-sama membentuk Malaysia pada ketika itu.

“Dengan itu saya menyeru kepada semua warga Wilayah Persekutuan untuk tidak mengkhianati amanah iaitu sebuah perpaduan yang telah diwariskan oleh pejuang-pejuang terdahulu kepada kita semua,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Malaysia 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, pagi tadi.

Khalid bergambar kenangan bersama para peserta perarakan dan warga Labuan.

Khalid bergambar kenangan bersama para peserta perarakan dan warga Labuan.

Menurut Khalid, Malaysia akan hanya tinggal nama sekiranya rakyatnya gagal berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia yang sejati.

“Bangsa Malaysia yang sejati akan meraikan perbezaan dan mencari titik persamaan, menutup perbalahan dan menyuburkan kebersamaan serta mempertahankan perpaduan demi kemajuan serta kestabilan berpanjangan.

“Perpecahan tidak menguntungkan mana-mana pihak, perseteruan tidak memenangkan mana-mana kaum di negara ini.

“Justeru, marilah kita jadikan Hari Malaysia ini sebagai wadah menyuburkan kembali pendekatan menyantuni perbezaan dan merayakan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta kepercayaan,” katanya lagi.

Tambahnya, era Malaysia Baharu ini muncul sebuah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat dan berikrar untuk memegang amanah dalam menjalankan pentadbiran kerajaan dengan efisien, tulus, dinamik serta menyantuni rakyat.

“Malaysia Baharu ini juga akan memulakan semula langkah ke arah Malaysia yang progresif dan berwawasan dalam membina ketamadunan berperadaban tinggi selain menggantikan strategi-strategi orde lama dengan strategi-strategi baharu sehingga matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat dan disegani rakan serantau akan tercapai.

“Saya amat mengharapkan agar rakyat terus menyokong kepimpinan kerajaan sekarang dalam membangunkan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” tambahnya.

Sambutan Hari Malaysia 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan diisi dengan pelbagai acara seperti perarakan “Fiesta Bunga Raya” daripada 58 kontinjen termasuk anak-anak kecil daripada seluruh taman asuhan dan didikan, perarakan kenderaan jabatan dan agensi kerajaan, persembahan gerak tari dan lintas hormat helikopter Tentera Udara DiRaja Malaysia.

-SH

Tinggalkan komen anda