Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Pesta Tanglung Diraikan Masyarakat Majmuk di Batu Pahat

By 17 September 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto : Mazlin Basir (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 17 Sept (Malaysiaaktif) – Sambutan perayaan yang diraikan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama di negara ini, berjaya membina pemahaman dan rasa hormat dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Malaysia yang kaya dengan budaya dan adat resam yang pelbagai merupakan satu keunikan yang sepatutnya dirai dan menjadi kebanggaan kita, sebagai rakyat Malaysia.

Antara lukisan tanglung yang dihasilkan oleh penduduk tempatan.

Antara lukisan tanglung yang dihasilkan oleh penduduk tempatan.

Bahang kemeriahan sambutan Pesta Tanglung yang menonjolkan keunikan tradisi dan kebudayaan masyarakat Cina turut dirasai oleh penduduk di sekitar Penggaram.

Bagi masyarakat Cina, Pesta Tanglung yang dikenali sebagai Perayaan Pertengahan Musim Luruh atau Perayaan Kuih Bulan secara tradisi menandakan berakhirnya musim menuai dan ia disambut pada hari ke-15 dalam bulan lapan kalendar lunar ketika bulan mengambang.

Gimik perasmian Pesta Tanglung.

Gimik perasmian Pesta Tanglung.

Ahli Majlis Perbandaran Zon 1 & 2 serta Komuniti Harapan Malaysia Dun Penggaram telah menganjurkan Program Gerak Mesra Zon 1 dan 2 serta Pesta Tanglung Sayangi Malaysiaku di kawasan lapang Taman Emas Jaya, Batu Pahat, di sini, baru-baru ini.

Program ini bertujuan memperkenalkan keunikan budaya masyarakat majmuk di negara ini disamping mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat pelbagai bangsa serta meningkatkan pemahaman orang ramai terhadap tradisi dan kebudayaan masyarakat Cina.

ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng bersama penduduk setempat untuk aktiviti membawa tanglung bersama-sama.

ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng bersama penduduk setempat untuk aktiviti membawa tanglung bersama-sama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram, Gan Peck Cheng berkata program ini adalah satu aktiviti yang sangat baik untuk masyarakat dalam memupuk perpaduan dan keharmonian antara satu sama lain di mana keakraban masyarakat kita ini secara tidak langsung membuka ruang untuk mengenali budaya, kesenian kaum lain dan kesefahaman inilah yang menyerlahkan keunikan negara kita.

“Rakyat Malaysia hidup penuh demokrasi di mana kita boleh meraikan perayaan budaya masing-masing dengan adil dan saksama.

“Kemakmuran Negara dapat dinikmati secara bersama, dengan penuh harmoni dan kepelbagaian tradisi adalah salah satu keunikan Negara kita,” ujarnya lagi.

Semua rakyat Malaysia mestilah bekerjasama untuk mengekalkan perpaduan, menjaga sensitiviti dan kebudayaan masing-masing serta menghormati antara satu sama lain agar keamanan dan kemakmuran Negara dapat dikekalkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian program di kawasan lapang Taman Emas Jaya, Batu Pahat baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Zon 1, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Ng Sze Keong berkata program ini adalah platform terbaik untuk mendekati rakyat dan merapatkan lagi hubungan antara agensi dan penduduk setempat.

“Hari ini kita menyambut perayaan Pesta Tanglung bersama-sama sekali gus menonjolkan keunikan sambutan yang menterjemahkan semangat muhibah rakyat Malaysia yang bersatu padu dan saling hormat menghormati.

“Saya berharap penduduk Zon 1 dapat bersama-sama berganding bahu menggembling tenaga agar kita mampu menghasilkan pembangunan yang mampan untuk kawasan ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memupuk keharmonian antara kaum antaranya pertandingan pakaian beragam menggunakan bahan-bahan terbuang, melukis tanglung, aktiviti membawa tanglung bersama-sama dan turut diadakan pameran serta taklimat tentang kepentingan aktiviti kitar semula.

Turut hadir Ahli Majlis Zon 2 Tan Pei Ling, Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia Penggaram Lim Siok Bee dan Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia Batu Pahat Lim Wee Hong.
-NI-

 

Tinggalkan komen anda