Laporan/ foto: Khairunnisa Abd Rahman/ Muhammad Fandy Azam (Melaka Tengah)
MELAKA TENGAH, 30 Sep (Malaysiaaktif) – Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan lagi pilihan terakhir untuk melanjutkan pengajian. TVET perlu dilihat sebagai pilihan utama untuk kerjaya dan masa depan golongan pelajar.
Timbalan Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Amalulkhair Sarbini menegaskan Politeknik dan Kolej Komuniti merupakan peneraju unggul institusi TVET yang perlu dijadikan pilihan utama ibu bapa dalam menentukan kerjaya masa depan anak-anak mereka.
“Kalau kita lihat penerimaan masyarakat dalam bidang TVET di negara maju dan jiran, ia merupakan satu bidang kerjaya pilihan dan bukan sekadar pilihan akhir untuk pelajar yang lemah dalam akademik. Hakikatnya lepasan TVET diterima baik dalam industri khususnya dalam bidang keusahawanan terutama di bidang teknikal,” ujar Amalulkhair.
“Kebolehpasaran graduan Politeknik Malaysia adalah sebanyak 96.1% manakala kebolehpasaran graduan Kolej Komuniti Malaysia adalah 96.5%,” tambah Amalulkhair lagi.
Program Outreach Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Zon Selatan 2019 yang dilaksanakan di Tun Fatimah Riverside Hotel baru-baru ini telah mengupas hala tuju dan pencapaian terbaik PolyCC dan sumbangan kepada bidang TVET melalui slot bual bicara di antara ahli-ahli panel jemputan dari Politeknik, Kolej Komuniti dan juga alumni dari Politeknik dan Kolej Komuniti.
Pensyarah dalam bidang Operasi Perhotelan, Khairol Hakkeky yang juga merupakan alumni dari Politeknik Merlimau dan Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka turut menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak menyambung pengajian di Politeknik dan Kolej Komuniti.
“Kolej Komuniti dan Politeknik sebenarnya memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang lemah akademik tapi lebih berkemahiran dalam bidang teknikal. Saya sendiri terkejut dengan yuran yang sangat murah serendah RM200 per semester hingga ke semester tiga di Kolej Komuniti,” ujar Khairol.
“Apabila ditawarkan sebagai pensyarah di Kolej Komuniti dan dalam masa sama mendapat tawaran di luar negara, saya sahut cabaran untuk menerima tawaran di Kolej Komuniti. Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar TVET ini bahawa dengan sijil Kolej Komuniti dan Diploma Politeknik, kita tetap boleh berjaya,” ujar Khairol lagi.
-KN