Skip to main content
Berita TempatanMANegeri Sembilan

Program Botani Desa Bantu Suri Rumah Jana Pendapatan Tambahan

By 30 September 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Masitah Mat Zin (Seremban)

SEREMBAN, 30 Sep (Malaysiaaktif) – Peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini menjadikan golongan rakyat tertekan terutama golongan wanita yang tidak bekerja.

Selaras dengan itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melancarkan Program Botani Desa sebagai salah satu inisiatif membantu meringankan beban, sekali gus mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata program yang menyasarkan penyertaan wanita daripada kategori kumpulan berpendapatan rendah (B40) itu menggalakkan aktiviti pertanian berskala kecil di kawasan rumah.

“Para peserta akan diberi kursus dan latihan yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian untuk memulakan aktiviti pertanian dari rumah, mereka juga akan diberi peralatan asas pertanian seperti baja dan benih.

“Sedikit sebanyak penggunaan kawasan tanah secara optimum di kawasan rumah dapat menjimatkan kos perbelanjaan dapur, selain mampu menjana sumber pendapatan sampingan jika dilaksanakan secara serius,” katanya ketika merasmikan Program Pelancaran Botani Desa dan Wanita Inspirasiku Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Sri Putra, Politeknik Nilai, di sini Sabtu lepas.

Rina berkata, pihaknya menyasarkan seramai 3,000 peserta program tersebut tahun ini di 287 buah kelas kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di setiap negeri.

Peserta Program, Maziah Manan berkata, program ini merupakan satu langkah yang amat baik untuk dijadikan sebagai permulaan untuk mereka menceburi bidang pertanian secara serius dan dalam masa yang sama dapat menambah sumber pendapatan.

Dalam pada itu, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti  Jualan produk usahawan KEMAS, Pameran Reruai Botani Desa,  Pertandingan Basikal Tolak KEMAS serta sesi perkongsian ilmu keusahawanan bersama moderator Heliza Helmi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan Ismail Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.

-AK

Tinggalkan komen anda