Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

SSPN Jelajah 10 Lokasi di Sarawak

By 26 September 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Toslin Meyub / Jaed Tepus (Kuching)

KUCHING, 26 Sept (Malaysiaaktif) – Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melibatkan keseluruhan 12 lokasi di Semenanjung Malaysia, 11 lokasi di Sabah dan 10 lokasi di Sarawak bermula sejak bulan Ogos hingga September 2019 lalu bertujuan untuk membuat hebahan kepada masyarakat berkaitan budaya penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi demi masa depan pendidikan anak-anak.

“Saya menyeru agar ibu bapa yang belum mempunyai perancangan kewangan pendidikan memulakan langkah penabungan pada hari ini,” kata Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Dato’ Wira Amiruddin Hamzah ketika merasmikan Program Jelajah SSPN 2019 Peringkat Negeri Sarawak di Sekolah Kebangsaan Matang Jaya, Kuching, hari ini.

Katanya, usaha proaktif PTPTN dalam mengubah minda masyarakat Malaysia kepada budaya membuat penabungan untuk pendidikan merupakan suatu tindakan yang amat murni dan perlu disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia dan kami di Kementerian Kewangan sememangnya mengharapkan rakyat Malaysia membuat perancangan kewangan yang baik melalui simpanan mahupun pelaburan berbanding membuat perancangan untuk meminjam.

Dato’ Wira Amiruddin menyempurnakan acara simbolik perasmian. Turut kelihatan, Kelvin Yii (kanan), Mastura (kiri) dan Wan Saiful (dua kiri).

Dato’ Wira Amiruddin menyempurnakan acara simbolik perasmian. Turut kelihatan, Kelvin Yii (kanan), Mastura (kiri) dan Wan Saiful (dua kiri).

Melalui program Jelajah SSPN ini, PTPTN turut memberikan sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 1,240 anak-anak asnaf melibatkan 31 kawasan parlimen seluruh negeri Sarawak melalui peruntukan dana CSR PTPTN berjumlah RM124 ribu dengan setiap pelajar akan menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 1997.

PTPTN memulakan operasi pada 1 November 1997 dan bertanggungjawab menguruskan pinjaman untuk tujuan pendidikan tinggi dan mengutip pembayaran balik pinjaman, menyediakan skim simpanan dan menguruskan deposit bagi tujuan pendidikan tinggi, serta melaksanakan sebarang fungsi lain yang diamanahkan kepada PTPTN oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) adalah merupakan satu skim atau instrumen simpanan yang direka khas oleh PTPTN bagi tujuan pendidikan tinggi. Di bawah SSPN ini terdapat dua produk iaitu SSPN-i (yang dilancarkan pada tahun 2004) dan SSPN-i Plus (yang dilancarkan pada tahun 2015).

Terdahulu, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, membina budaya menabung di kalangan rakyat Malaysia bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi apabila masyarakat mengenali PTPTN lebih kepada agensi yang memberi pinjaman dan mengutip hutang.  Katanya, ia untuk menukar budaya masyarakat daripada meminjam kepada menabung sebagaimana logo PTPTN yang tertulis ‘Tabung Pendidikan’.

Dato’ Wira Amiruddin merakam kenangan bersama anak-anak asnaf, penerima sumbangan simpanan akaun SSPN-i di SK Matang Jaya

Dato’ Wira Amiruddin merakam kenangan bersama anak-anak asnaf, penerima sumbangan simpanan akaun SSPN-i di SK Matang Jaya

Tambahnya, PTPTN sentiasa mencari alternatif bagi memastikan bahawa maklumat berkenaan penabungan dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira di mana mereka berada.

“Penganjuran Program Jelajah SSPN 2019 membuktikan komitmen PTPTN yang tidak pernah jemu mempromosikan dan menghebahkan informasi mengenai SSPN ini kepada semua lapisan masyarakat di seluruh Malaysia sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

“Istimewa di Sarawak ini, PTPTN bukan hanya mengadakan promosi di Kuching sahaja tetapi kami juga akan ke sembilan lokasi yang lain di negeri ini,” tambahnya lagi.

Turut hadir semasa majlis, Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar & Operasi) PTPTN Mastura Mohd Khalid, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Hazali Madihi dan Guru Besar SK Matang Jaya Mohd Suip Mohd Suut.

Tinggalkan komen anda