Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Pangsapuri Tanjung Aru menerima Sijil Perakuan Penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) daripada Perbadanan Labuan yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman, kepada Setiausaha Jawatankuasa JMB pangsapuri tersebut Tan Sing Bing, di Wisma Perbadanan Labuan baru-baru ini.
Menurut Dr. Fary, sijil perakuan itu merupakan yang kelima selepas Unit Pesuruhjaya Bangunan Labuan diwujudkan pada 2015 di bawah akta 757 Pengurusan Strata 2015.
“Sebelum ini empat sijil telah diserahkan kepada JMB yang melibatkan Pangsapuri Beta, Perumahan Taman Mutiara, Pangsapuri Labuan Times Square dan Perumahan IOFC Kerupang.
“Ahli JMB Pangsapuri Tanjung Aru ini bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara semua harta bersama disamping menentukan kadar caj penyelenggaraan termasuk menguruskan insuran bangunan dan mengemaskini daftar semua pemilik unit,” katanya.
Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail dan Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Perbadanan Labuan Gilbert Chin.
Dalam perkembangan lain, Dr. Fary menyeru warga Labuan agar tidak terlibat dalam kegiatan vandalisme terhadap kemudahan-kemudahan awam yang disediakan kerajaan.
“Kita menyeru kepada seluruh warga Labuan untuk tidak melakukan perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian agar imej Labuan tidak terjejas dan menyebabkan kesukaran kepada orang awam yang ingin menggunakan kemudahan tersebut nanti,” ujarnya lagi.
Dr. Fary berkata demikian selepas Pihak Perbadanan Labuan mengesan terdapat kegiatan vandalisme yang menyasarkan beberapa kemudahan awam seperti di tandas awam dan beberapa papan tanda di jalan-jalan utama sekitar bandar ini.
-SH