Laporan/foto : Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin /Maisarah Mohd Khalid (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 30 Sept (Malaysiaaktif) – Bunga anggerik atau lebih dikenali sebagai bunga orkid merupakan tumbuhan yang memerlukan waktu yang lama untuk matang dan berbunga.
Bagi penggemar tumbuhan ini, ia sudah menjadi kebiasaan setiap kali menanam dan menjaganya, perlu menanti dengan penuh kesabaran untuk melihat pokok mengeluarkan bunga dan setelah berbunga mekar, ia tidak mudah layu dan tahan lama.
Orkid mempunyai 700 jenis, lebih daripada 25,000 spesies serta 100,000 kacukan dan antara jenis orkid ialah Aranda, Cattleya, Cymbidium, Dendrobium, Phalaenopsis, Vanda, Lycaste, Brassia, Oncidium dan Mokara.
Menurut Penolong Pegawai Pertanian di Jabatan Pertanian daerah Muar yang juga penggemar bunga orkid Mohd Ali Adli, dalam taklimatnya tentang Tanaman Orkid di Pesta Orkid, Flora dan Herba di Angsana Mall Johor berkata beliau telah berkecimpung dalam aktiviti penanaman orkid ini selama 4 tahun dan telah banyak menulis di laman muka buku (facebook) Jabatan Pertanian mengenai tumbuhan ini.
Beliau memulakan tugas di Jabatan Pertanian dalam bidang kejuruteraan dan ia bukanlah satu halangan untuk meneruskan minatnya ini dengan lebih 300 jenis orkid ditanam dan berada di sekeliling halaman rumahnya.
“Pada asalnya, saya memang merancang untuk membuat nurseri dan telah pun mencuba selama 3 tahun tetapi kerana tumbuhan ini memerlukan tempoh 2 tahun untuk mendapatkan hasil, saya tangguhkan hasrat ini untuk menjadikan ianya sebagai satu perniagaan” ujarnya.
Oleh kerana minatnya yang mendalam dengan orkid, beliau hanya menjadikan ia sebagai satu aktiviti untuk mengisi masa lapangnya sahaja dan menanamnya sebagai terapi bagi diri apabila melihat orkid yang ditanam menghasilkan bunga yang cantik.
Antara tips yang telah dikongsikan untuk mendapatkan pokok bunga orkid yang cantik adalah dengan menggunakan baja, racun serangga, racun kulat dengan betul dan perlu menyiram pokok dengan kuantiti air dan cara yang betul serta meletakkannya di bawah cahaya matahari yang secukupnya.
Bunga orkid yang kurang mendapat pencahayaan akan mengeluarkan bunga yang tidak cantik iaitu berwarna lebih gelap ataupun langsung tidak berbunga.
Istiqomah Amat, 60, yang juga merupakan pengunjung Pesta Orkid ,Flora dan Herba Johor 2019 memberitahu bahawa dia dan keluarganya sudah lama menjadikan orkid sebagai satu hobi dan pelbagai jenis orkid telah ditanam di sekeliling rumahnya.
Tiada petua yang khusus dalam penjagaan tanaman orkid namun menurutnya setiap hari dia akan meluangkan masa melihat dan bercakap dengan pokok-pokok orkid kesayangannya, kerana baginya dengan bersatu atau bercakap dengan pokok-pokok orkidnya ia memberi kesan terhadap tumbesaran pokok yang sentiasa mengeluarkan bunga dan tambahnya lagi, jika terdapat tangkai kering pada tumbuhan ini dia tidak akan potong, kerana ia akan mengeluarkan tunas yang baru.
Bagi penggemar bunga orkid yang ingin melihat atau mengumpul pelbagai koleksi pokok orkid boleh berkunjung ke Pesta Orkid, Flora dan Herba Negeri Johor 2019 yang berada di Angsana Mall, Johor Bahru sehingga 6 Oktober ini dengan harga yang berpatutan dan terdapat juga pelbagai aktiviti dan pertandingan yang boleh disertai oleh orang ramai.
-NI-