Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Bengkel Tingkat Kecekapan Hadapi Bencana

By 25 Oktober 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (Sik)

SIK, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Bengkel pengurusan bencana anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah  diharap dapat meningkatkan tahap kecekapan serta kesiapsiagaan orang ramai dalam menghadapi bencana.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Lt. (Pa) Haisul Aishah Mohd Napiah, pembabitan pemimpin tempatan diharap berupaya bagi membantu melancarkan operasi membantu dan menguruskan mangsa bencana khususnya banjir dengan lebih sistematik.

“Bengkel ini juga perlu diadakan dari masa ke masa mengikut polisi sedia ada bagi memastikan semua peserta terlibat memiliki pengetahuan sekiranya berhadapan dengan kejadian bencana sebenar,” katanya ketika ditemui sempena Bengkel Pengurusan Bencana Daerah Sik, di sini kelmarin.

Jelas Haisul lagi, bengkel ini turut membolehkan pemimpin-pemimpin masyarakat pada peringkat akar umbi untuk memainkan peranan lebih besar dan berkesan bagi menghadapi bencana pada masa akan datang.

“Adalah sesuatu yang penting untuk mengetahui langkah serta prosedur yang perlu diambil sekiranya terlibat dengan banjir mahupun bencana alam lain. Selain memudahkan urusan pihak berkuasa, ia juga bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang terlibat.

“Apabila sudah ada pendedahan dan pengetahuan, dan ?sekiranya berlakunya sebarang bencana mereka sudah tahu peranan masing-masing,” tambahnya.

Haisul juga berharap agar peserta akan memanfaatkan ilmu pengetahuan yang diperolehi dalam menunaikan tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam membantu masyarakat ketika menghadapi bencana.

-SH

Tinggalkan komen anda