Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

GDBK Beri Kesedaran Kepentingan Bahasa Melayu

By 19 Oktober 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Anuar Che Amat (Kangar)

KANGAR, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan (GDBK) merupakan salah satu acara tahunan negara untuk menyedarkan masyarakat akan kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selaras dengan tuntutan Perlembangaan Persekutuan Perkara 152 dan wasiat Raja- Raja Melayu yang dibuat semasa kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957.

Menurut  Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berucap di Majlis Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis 2019 menjelaskan gerakan atau kempen ini bermula seawal tahun 1960 melalui Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan bertujuan untuk membangkitkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan bahasa kebangsaan khususnya di dalam urusan pentadbiran negara.

Pada tahun 1987 hingga 1996 ia diteruskan dengan  Gerakan Cintailah Bahasa Kita, Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta pada tahun 1996-2005, diikuti dengan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (1999-2009), Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun 2010 -2017 dan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsan mulai 2018 hingga kini.

Dr. Hazami Jahari (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Zakaria.

Dr. Hazami Jahari (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Zakaria.

Majlis Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Perlis dan Syarahan Teguh Bahasa telah berlangsung di Perpustakaan Awam Negeri Perlis, dihadiri lebih 200 orang tetamu jemputan dan  dirasmikan oleh Ahmad Zakaria, Timbalan Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Azizi Janan.

“Dekad Bahasa Kebangsaan akan bermula pada tahun 2021 hingga 2030 yang diterajui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka serta didokong oleh semua agensi kerajaan termasuk institusi pendidikan awam dan swasta.

“Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan ini telah bermula pada tahun 2018 dengan pelbagai program kebahasaan serta persuratan dan sekiranya ia diterima semua pihak tidak mustahil impian untuk melihat bahasa Melayu  sebagai bahasa pilihan utama di kalangan pertutur di Malaysia dan rantau ASEAN akan tercapai,” ujarnya.

Para pemenang Pertandingan Eksplorasi Bahasa Kebangsaan bergambar kenangan dengan tetamu jemputan.

Para pemenang Pertandingan Eksplorasi Bahasa Kebangsaan bergambar kenangan dengan tetamu jemputan.

Tambah Hazami lagi, GDBK pada tahun ini memfokuskan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan sepanjang tahun amnya pada bulan Oktober hingga Disember khususnya dengan bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan usaha untuk menarik minat golongan bukan Melayu dan pihak swasta telah dilipat gandakan.

“Sebagai badan berkanun yang telah diamanahkan untuk memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan, kami di DBP akan menganjurkan GDBK 2019 ke peringkat kementerian dan negeri di seluruh negara dan kami percaya usaha ini akan menjadi nadi yang mampu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini dan juga sebagai salah satu bahasa utama di dunia,” ujar beliau lagi.

Di majlis tersebut turut diadakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan Ekplorasi Bahasa 2019 di mana pertandingan ini merupakan pertandingan pemantauan kesalahan penggunaan  bahasa kebangsaan di tempat awam dan jumlah penyertaan tahun ini melibatkan seramai 30 orang peserta dari pelbagai kaum  dari Ahli Majlis Belia (ABM) Negeri Perlis.

Di akhir majlis, Dr. Norshah Aizat Shuib dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menyampaikan Syarahan Teguh Bahasa yang bertajuk “Cabaran Bahasa Melayu Merentas Bidang Sains dan Teknologi.”

-NI-

Tinggalkan komen anda