Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Penghakiman Efektif Melalui Maqasid Syariah

By 23 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Maqasid Syariah merupakan kunci utama bagi melindungi, menyubur dan memantapkan prinsip dan nilai Islam demi mencapai kepentingan dan matlamat dalam kehidupan.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh dalam konteks kehakiman Syariah, Hakim Syarie perlu memantapkan ilmu supaya penghakiman yang dibuat dapat mencapai keadilan, memberikan hak kepada yang berhak.

Fuziah ketika berucap merasmikan majlis.

Fuziah ketika berucap merasmikan majlis.

“Hakim Syarie hendaklah berhati-hati dalam membuat penghakiman, dan pertimbangan yang diberikan bukan hanya kepada penghujahan yang diberikan oleh pihak-pihak, bahkan perlu memenuhi maqasid yang digariskan oleh syarak bagi menjamin keadilan kepada pihak-pihak yang berhak melalui penghakiman yang efektif.

“Bagi memastikan kesejahteraan ummah dapat dicapai, Maqasid Syariyyah menggariskan lima prinsip utama yang merupakan asas kukuh dalam pengurusan tadbir urus sesebuah negara termasuklah dalam bidang kehakiman dan perundangan Syariah,” katanya semasa merasmikan Diskusi Undang-Undang dan Hukum Syarak: Maqasid Syariah Dalam Kehakiman, di sini semalam.

Fuziah menegaskan dalam membuat penghakiman yang efektif, para hakim turut diberikan ruang untuk berijtihad sekiranya tiada nas yang jelas dalam hukum Syarak atau terdapat lakuna dalam undang-undang.

“Para hakim hendaklah mengaplikasikan Maqasid Syariyyah supaya penghakiman yang dibuat tidak tersasar daripada landasan yang ditentukan oleh hukum Syarak dan undang-undang.

“Prinsip keadilan kepada pihak-pihak bertikai juga perlu dititikberatkan supaya hak-hak diberikan kepada yang berhak,” katanya lagi.

Fuziah turut menggesa agar ke arah menggalakkan pelaksanaan hukuman yang bersifat rehabilitatif perlu diperkasakan seperti usaha pewartaan pusat pemulihan yang berkaitan dengan kesalahan jenayah Syariah.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie merangkap Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

-SH

Tinggalkan komen anda