Laporan/foto : Musliha Yusof/Najib Mohaini (Johor Bahru)
PONTIAN, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) dilihat sebagai inisiatif yang dapat menjamin masa depan golongan wanita daripada sudut kewangan.
Skim i-Suri bertujuan bagi memastikan kesejahteraan golongan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada ahli keluarga dan pembangunan negara.
Skim ini membolehkan suri rumah di Malaysia menikmati kehidupan sosial yang lebih berkualiti dan dapat meningkatkan sekuriti pendapatan dengan adanya simpanan melalui Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).
Program Sukarela Insentif ini merupakan caruman sukarela KWSP bersama insentif khas Kerajaan yang dikhususkan buat suri rumah yang telah mendaftar dalam sistem e-Kasih yang menyimpan maklumat mengenai kemiskinan individu, termasuk profil peribadi dan bantuan yang telah diterima oleh Ketua Isi Rumah (KIR).
Jumlah bayaran caruman suri rumah setiap bulan adalah sebanyak RM5.00 dan pihak kerajaan pula akan membuat sumbangan caruman sebanyak RM40.00 sebulan, manakala jumlah bantuan yang akan diterima setahun adalah sebanyak RM480.
Pegawai Perhubungan Jabatan Pembangunan Malaysia, Nursyahira Azzahra Salamat berkata masih ramai lagi penerima i-Suri di Negeri Johor yang belum membuat pendaftaran dan caruman i-suri melalui KWSP.
“Hanya lebih kurang 3,000 penerima insentif ini yang tampil mendaftar sedangkan jumlah penerima yang layak di negeri ini seramai 11,000 orang,” beliau memberitahu sambil merujuk kepada statistik yang dikeluarkan.
Beliau menyeru kepada pemohon yang layak untuk membuka akaun KWSP supaya manfaat dapat diterima melalui akaun bank yang telah didaftarkan.
Pegawai Perhubungan Persaraan KWSP, Hazri Haron memberitahu bahawa pendaftaran i-Suri boleh dibuat dengan mengunjungi mana-mana 67 cawangan KWSP di seluruh negara.
“Hanya mereka yang berkelayakan sahaja akan didaftarkan untuk menerima insentif khas kerajaan ini.”
“Peserta i-Suri juga layak menikmati faedah yang sama seperti ahli KWSP, iaitu agihan dividen tahunan untuk simpanan persaraan, pengeluaran simpanan KWSP, faedah hilang upaya dan manfaat kematian,” katanya lagi.
Seorang penerima manfaat ini, Noraziah Jamaludin, 39, telah menerima surat pemberitahuan untuk mendaftar dan mencarum skim i-Suri melalui Pejabat Daerah Pontian.
“Bantuan sebeginilah yang saya harapkan dari kerajaan, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan bebanan kami sekeluarga memandangkan pendapatan keluarga saya tidak seberapa dan bagi saya, skim i-Suri merupakan insentif yang sangat bagus kerana dapat menjamin masa depan saya dan juga anak-anak saya yang masih bersekolah,” ujarnya.
Kebanyakan orang-ramai yang membuat pendaftaran i-Suri semasa program Sepakat@Komuniti Jabatan Penerangan Negeri Johor di Dewan Terbuka Taman Emas Merah, Pekan Nanas, Pontian hari ini memberi maklum balas positif terhadap skim ini.
Belanjawan 2020 baru-baru ini turut memperuntukkan sebanyak RM45 juta sebagai tambahan ke atas sumbangan yang diberikan oleh suami kepada isteri yang tidak bekerja melalui skim i-Suri.
Kerajaan juga bercadang untuk memanjangkan manfaat di bawah i-suri melalui perlindungan keselamatan sosial di bawah seliaan PERKESO yang mana peruntukan sebanyak RM20 juta akan disediakan bagi tujuan ini.
Program ini dilihat dapat menjamin kestabilan kewangan golongan suri rumah, ibu tunggal dan balu yang berkelayakan untuk mencarum.
-NI-