Laporan/foto:Mohammad Abdul Rahman(Papar)
KIMANIS, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli DUN N23 Bongawan, Dr. Daud Yusof berharap agar Sabah Petronas Carigali Sendirian Berhad terus menaja Kelas Tuisyen PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk anak-anak nelayan dikawasannya.
Beliau turut berharap para pelajar tingkatan 4 dari kalangan anak nelayan dikawasannya ditawarkan untuk mengikuti kelas tuisyen terbabit sebagai persiapan menghadapi SPM tahun hadapan.
Selain itu, Dr. Daud turut mezahirkan penghargaan kepada Petronas serta Persatuan Komuniti Nelayan Papar atas inisiatif menaja kelas tuisyen tersebut kepada para pelajar yang tidak berkemampuan.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh wakilnya, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N23 Bongawan, Liechet Manuel dalam Majlis Bersama Ibu Bapa dan Pelajar Program Kelas Tuisyen PT3 dan SPM 2019 di Kimanis Petroleum Training Centre(KTC), pada khamis.
Seramai 32 pelajar dari Sekolah Menengah SMK Membakut, SMK Bongawan dan SMK Bongawan II serta ibu bapa masing-masing hadir ke majlis berkenaan dengan menerima bantuan wang saku sekolah sumbangan Ahli DUN N.23 Bongawan disampaikan oleh Liechet.
Kelas Tuisyen PT3 dan SPM tajaan Petronas Sabah bersama Persatuan Komuniti Nelayan Papar bermula awal Januari berakhir September lalu bagi pelajar PT3 manakala pelajar SPM sehingga hujung Oktober ini.
Antara subjek kelas tuisyen terbabit adalah mata pelajaran teras, Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris masing-masing diajar oleh guru jemputan dari SMK St Patrick dan SMK Benoni di bangunan KTC disini, setiap sabtu.
Turut hadir Wakil Persatuan Nelayan Kawasan Papar, Syafie Hashim; Pengerusi Hal Ehwal Pembangunan Nelayan Kawasan N,23 Bongawan, Bakar Jamil; Ketua Infrastruktur Sabah Petronas Carigali Sendirian Berhad, Aidy Ahmad Hijazi; Pengurus Kompetensi INSTEP, Amri Ilias; Pengurus Kimanis Petroleum Training Centre, Mohd Arifin Abdul Ahaling dan pemimpin masyarakat setempat.
Terdahulu, Ahli DUN N.23 Bongawan itu turut berkesempatan menyempurnakan Majlis Konvokesyen Tingkatan 5 di SMK Bongawan II yang turut dihadiri 200 pelajar dan ibu bapa pada hari sama, sebelah pagi.
ER