Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

MAIWP Komited Bangunkan Modal Insan Cemerlang

By 11 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Selain berperanan dalam membangun serta meningkatkan ekonomi umat Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga sangat komited dalam membangunkan modal insan yang cemerlang, berkualiti dan memiliki sahsiah yang terpuji.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Mohd Nizam Yahya, penganjuran Majlis Festival Kesenian & Kebudayaan Islam anjuran MAIWP merupakan wadah terbaik bagi membangunkan generasi yang cemerlang dan unggul dalam aspek menerusi penghayatan terhadap ajaran al-Quran.

“Dalam konteks ini, pendidikan yang berlandaskan kepada ketetapan Allah SWT melalui al-Quran menjadi teras ke arah melahirkan modal insan yang mampu memperkasa sesebuah bangsa dan negara seterusnya mencapai kejayaan di dunia dan akhirat kelak.

“Pendekatan dan usaha yang telah disemai sejak peringkat tadika lagi, maka ianya dapat diperkukuhkan menerusi pendekatan yang berkesan dalam peringkat kurikulum.

“Saya percaya banyak potensi dan kelebihan anak-anak kita dapat dicungkil dan diketengahkan supaya bakat yang mereka miliki dapat dikembangkan dengan sepenuhnya selain mengukuhkan jati diri serta menyemai keyakinan dalam kalangan anak-anak kita,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Festival Kesenian & Kebudayaan Islam MAIWP Labuan Kali ke-10 Tahun 2019, baru-baru ini.

Tegasnya, MAIWP akan terus komited dalam meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan seterusnya memperkasa aspek modal insan dan sahsiah para pelajar.

“Mudah-mudahan segala usaha murni serta komitmen yang kita laksanakan ini dalam membudayakan dan menghayati tuntutan al-Quran akan diberkati oleh Allah SWT,” jelasnya lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda