Laporan/foto : Haliza Mohd Taib (Muar)
MUAR, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Usaha untuk menyantuni golongan asnaf perlu dipelbagaikan bagi memastikan tiada yang tercicir daripada menerima bantuan.
Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Tangkak, Segamat, Kluang dan Pejabat Kadi Daerah Muar dengan kerjasama Sahabat Dakwah Muar, RS Owner Club, MPKK Seri Sempadan dan Qariah Surau Ar Raudah Batu 18 1/2 mengadakan Kembara Bermotor Ziarah Asnaf di mana Kampung Seri Sempadan Ayer Hitam, Muar, telah dipilih sebagai tuan rumah.
Program ini diadakan untuk menjejaki dan menziarahi golongan asnaf di seluruh pelusuk kampung bersama para peserta kembara bermotor, kepimpinan mukim dan kampung.
Turut serta wakil Imam Besar Daerah Muar Nazri Ali, Ketua Kampung Seri Sempadan Mohamad Esa Lamin, wakil Sahabat Dakwah Ghazali Samuri dan wakil Kelab RS Owner Club Aliff Samsudin.
Kembara bermotor telah menyampaikan sumbangan kepada 10 orang asnaf yang berjaya dijejaki manakala lima orang lagi menerima sumbangan ketika program di surau Ar Raudhah Batu 18 1/2.
Siti Kalsom Sidol, 70, yang ditemui berkata sumbangan yang diterima sedikit sebanyak dapat membantu dan meringankan beban beliau.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kembara dan Imam Masjid Daerah serta Penghulu di atas keprihatinan kepada masyarakat mukim ini khususnya golongan asnaf,” ujarnya.
Program ini turut memberi impak positif kepada masyarakat setempat sekali gus memberi pendedahan dan kesedaran, bahawa asnaf juga perlu disantuni dan diambil perhatian oleh semua pihak agar tali persaudaraan antara golongan berkemampuan dengan golongan asnaf dapat dieratkatkan sambil menghulurkan bantuan.
-NI-