Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Diabetes Dan Hipertensi Adalah Pembunuh Senyap

By 26 Oktober 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto : Siti Nabila Bohari/Musliha Yusof (Johor)

PONTIAN, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Pontian merupakan destinasi ke-8 Program Kampungku Sihat selepas dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Langkawi, Februari lepas.

Sehingga ke hari ini, sejumlah 92 kampung telah dilawati di mana 4,396 orang dewasa telah disaring bagi faktor ‘Non Communicable Diseases’ (NCD) manakala sejumlah 3,545 orang pula telah menjalani saringan diabetes dan 3,266 orang menjalani ujian saringan hipertensi.

Pameran kesihatan turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat untuk menjaga kesihatan.

Pameran kesihatan turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat untuk menjaga kesihatan.

Bagi memberi penekanan kepada kehidupan sihat sejahtera, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Kampungku Sihat telah membawa para pelatih dari Institusi Latihan KKM bersama anggota kesihatan di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Pontian untuk membuat saringan kesihatan kepada penghuni rumah dewasa disamping memberi nasihat kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata Program Kampungku Sihat merupakan inisiatif baru KKM dalam memberi penekanan kepada umum tentang masalah kesihatan awam.

“NCD merupakan penyebab utama kematian pramatang di Malaysia di mana Jabatan Statistik Malaysia melaporkan penyebab utama kematian pada tahun 2017 adalah serangan jantung dan Tinjauan Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan yang dijalankan pada tahun 2015 menunjukkan satu dari dua rakyat Malaysia dewasa mengalami masalah kegemukan, satu dari tiga orang menghidap hipertensi dan satu dari lima orang mempunyai diabetes.”

Nur Sabihah Ramli menyatakan bahawa pentingnya pemeriksaan kesihatan dilakukan secara berkala bagi mengelakkan kematian mengejut.

Nur Sabihah Ramli menyatakan bahawa pentingnya pemeriksaan kesihatan dilakukan secara berkala bagi mengelakkan kematian mengejut.

“Separuh dari kes diabetes dan hipertensi adalah ‘undiagnosed‘ di mana pesakit tidak tahu mereka menghidap penyakit ini dan tidak mengambil sebarang rawatan”, katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pelancaran Program Kampungku Sihat Daerah Pontian, di sini, pagi tadi.

Berasaskan situasi tersebut, KKM amat memandang serius kepentingan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit di mana pihak kerajaan telah mengadakan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKaB40) dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit NCD.

“Data terkini menunjukkan 130 ribu orang telah menjalani saringan melalui Program PeKa B40 ini dan setelah pengumuman had umur penerima skim diperluaskan dari 50 tahun kepada 40 tahun ke atas, pihak KKM mensasarkan 1.27 juta orang akan menjalani saringan pada tahun hadapan melalui program PeKa B40 ini.”

Dr Dzulkefly Ahmad melepaskan pasukan perubatan bagi menyampaikan mesej pentingnya melakukan ujian saringan kesihatan.

Dr Dzulkefly Ahmad melepaskan pasukan perubatan bagi menyampaikan mesej pentingnya melakukan ujian saringan kesihatan.

“Saya percaya langkah ini akan memberikan impak berganda kepada rakyat yang berpendapatan rendah agar pengesanan dan rawatan dapat dilakukan pada peringkat lebih awal,” katanya lagi.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam ucapannya turut mengingatkan bahawa Negeri Johor sentiasa mementingkan kesihatan dan kebersihan dari semua bidang dan peringkat umur.

“Saya berharap semua rakyat Johor sentiasa sihat dan ambil peduli tentang kesihatan seterusnya sentiasa mengambil peluang untuk menyertai program-program kesihatan yang dirancang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.”

“Seluruh masyarakat perlu memainkan peranan penting bagi mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya.

Bagi membudayakan amalan kesihatan yang baik kepada rakyat Malaysia, KKM akan menganjurkan Pertandingan Program Kampungku Sihat Kementerian Kesihatan Malaysia diseluruh Negara pada tahun hadapan di mana pertandingan ini akan dijadikan sebagai pemangkin penglibatan komuniti dalam menjaga kesihatan kendiri disamping menggalakkan agensi luar KKM beganding bahu dalam agenda kesihatan awam ke arah pembentukan komuniti kampung yang sihat.

Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Pekan Nanas, Nur Sabihah Ramli, 26, menyatakan bahawa pentingnya pemeriksaan kesihatan dilakukan secara berkala.

“Ramai orang tidak mengambil berat tentang tahap kesihatan masing-masing atas alasan sibuk dengan kehidupan seharian yang akhirnya akan memberi risiko kematian mengejut,” ujarnya.

Pelbagai pengisian telah disusun sepanjang program ini berlangsung, di antaranya ialah pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan dan lawatan ke rumah oleh pasukan perubatan yang bertujuan untuk menyampaikan mesej betapa pentingnya melakukan ujian saringan kesihatan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatan Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan Dan Warisan Negeri Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.

 

-NI-

Tinggalkan komen anda