Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Lata Mengkuang Diberi Nafas Baharu

By 15 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Mohd Sharul Ridwan Shafee (Sik)

SIK, 15 Okt (Malaysiaaktif) – Suatu ketika dahulu, Rimba Rekreasi Lata Mengkuang pernah menjadi antara kawasan peranginan yang popular kerana memiliki air terjun semula jadi yang mengagumkan serta cantik.

Bagi memastikan keindahan kawasan rekreasi ini terus terpelihara, Kelab Pecinta Alam Sekitar Sik, mengambil langkah proaktif bagi mengadakan aktiviti gotong royong bagi membersihkan kawasan tersebut.

Menurut Ketua Kelab Pecinta Alam Sekitar Sik, Mohd Sharul Ridwan Shafee, idea untuk membersihkan kawasan tersebut timbul selepas dia sendiri berkunjung ke lata tersebut beberapa hari yang lalu.

Ridwan (dua dari kanan) berharap agar semua pihak cakna akan kebersihan kawasan ini supaya keindahannya terpelihara.

Ridwan (dua dari kanan) berharap agar semua pihak cakna akan kebersihan kawasan ini supaya keindahannya terpelihara.

“Sesampainya saya di sana, saya dapati keadaan di sana agak menyedihkan dan tidak terurus dengan banyak pokok tumbang, sampah sarap dibuang ke dalam sungai serta tandas yang tidak berfungsi sempurna dan daripada situlah, timbulnya idea untuk menjalankan aktiviti gotong-royong  bagi membersihkan kawasan riadah ini.

“Di samping itu, diharapkan aktiviti kemasyarakatan ini dapat memberi impak positif serta kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya untuk terus menjaga dan memelihara alam sekitar untuk tatapan generasi yang akan datang,” katanya yang ditemui di Rimba Rekreasi Lata Mengkuang, di sini baru-baru ini.

Ridwan turut berharap agar aktiviti seperti ini dapat memupuk semangat sukarelawan sosial dan cintakan alam sekitar.

“Kami juga merancang untuk mencantikkan lagi kawasan ini dari masa ke masa untuk menarik perhatian lebih ramai pengunjung. Kehadiran pengunjung yang ramai secara tidak langsung akan turut merancakkan ekonomi masyarakat setempat.

“Antara usaha yang dijalankan ialah membuang kotoran dan sampah sarap, membersihkan kawasan di dalam sungai serta aktiviti penanaman pokok,” “ujar anggota di Balai Polis Jeniang ini lagi.

Kawasan rekreasi yang berada 13 kilometer dari Pekan Sik ini terletak di tepi jalan raya Sik menuju ke Baling serta terkenal dengan air terjun dan keindahan alam semulajadi yang kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna di Hutan Simpan Rimba Teloi ini.

-SH

Tinggalkan komen anda