Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

MATRADE Sasar Tingkatkan Jumlah Eksport Di Johor

By 15 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto:    Mohd Najib Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 15 Okt (Malaysiaaktif) – Agensi Promosi Perdagangan Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengambil inisiatif untuk meningkatkan kesedaran mengenai eksport dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) di Johor menerusi penganjuran Hari Eksport Johor 2019.

Inisiatif ini adalah salah satu usaha untuk meningkatkan jumlah pengeksport dari Johor yang tersenarai dalam pangkalan data agensi itu kepada 2,500 daripada 2,000 yang dicatatkan sekarang.

Hari Ekspo Johor 2019 penting untuk meningkatkan kesedaran dan mengemaskini maklumat berkaitan perdagangan - Dr. Sahruddin Jamal

Hari Ekspo Johor 2019 penting untuk meningkatkan kesedaran dan mengemaskini maklumat berkaitan perdagangan – Dr. Sahruddin Jamal

Majlis perasmian yang julung kali diadakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal di PERSADA Johor Bahru yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Jimmy Puah Wee Tse, dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Sharimaton Mat Saleh.

“Program ‘Hari Eksport Johor 2019’ atau ‘Export Day Johor 2019’ ini sangat penting untuk meningkatkan kesedaran dan mengemaskini maklumat berkaitan dengan perdagangan antarabangsa dalam kalangan syarikat-syarikat di Malaysia khususnya di negeri Johor,” ujar Dr. Sahruddin dalam ucapannya semasa merasmikan program di PERSADA Johor Bahru hari ini.

Dr Sahruddin melawat ke booth pameran yang diadakan.

Dr. Sahruddin melawat ke booth pameran yang diadakan.

Pada masa ini, syarikat-syarikat dari Johor yang berdaftar bersama MATRADE terlibat sama dalam pelbagai industri seperti perabot, makanan & minuman, bahan binaan dan lain-lain meliputi jenama-jenama eksport dari Johor yang dikenali ramai seperti Jalen, Marry Brown, Fiffy dan Ummiriaz.

“Kami yakin masih ramai lagi PKS Johor di luar sana yang sudah mempunyai kapasiti untuk mengeksport tetapi tidak pasti tentang cara untuk mengakses pasaran luar negara dan justeru itu, kami ingin menggesa komuniti perniagaan di Johor untuk bekerjasama dengan MATRADE melalui pejabat kami di Johor Bahru agar mereka dapat memanfaatkan fasilitasi Pembangunan Pengeksport dan Promosi Eksport dari MATRADE,” kata Sharimaton.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah ditubuhkan pada 1 Mac 1993 sebagai cabang promosi perdagangan luar Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) di mana program Hari Eksport Johor ini merupakan program kedua bagi tahun 2019 yang dianjurkan oleh MATRADE selepas edisi pertama di Terengganu pada bulan Mac yang lalu.

-NI-

Tinggalkan komen anda