Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Lebih 6000 Peserta Jayakan BSN Labuan 2019

By 12 Oktober 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Lebih 6000 orang warga Labuan membanjiri Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan bagi menjayakan Sambutan Bulan Sukan Negara (BSN) 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, pagi tadi.

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien, BSN yang disambut seluruh negara merupakan satu inisiatif yang baik daripada pihak kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana dapat mengumpulkan semua lapisan masyarakat dari pelbagai latar belakang serta suku kaum.

“Tambah menarik di Labuan kita dapat melihat acara-acara sukan tempatan yang digabung dan dijadikan sebagai produk pelancongan yang boleh diketengahkan pada peringkat nasional.

“Penyertaan yang begitu ramai hari ini dan sepanjang bulan ini memperlihatkan keterlibatan yang menggalakkan daripada warga Labuan menyertai pelbagai acara bermula di peringkat kampung hingga ke peringkat nasional,” katanya semasa ditemui media.

Salah seorang peserta cilik demonstrasi seni mempertahankan diri.

Salah seorang peserta cilik demonstrasi seni mempertahankan diri.

Program kesukanan itu juga katanya mampu memainkan peranan dalam menarik pelancong untuk berkunjung ke Labuan.

“Seperti beberapa buah negara yang terkenal seperti di Eropah, sektor pelancongan memang menjadi teras kepada negara mereka dan Labuan kita lihat mempunyai kepelbagaian acara sukan yang sudah tentu dapat menarik pelancong untuk datang melihat sendiri keunikan jenis sukan yang ada di sini,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan Mahanum Fauzi, berkata penyertaan BSN 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan melebihi sasaran yang dibuat pada peringkat awal.

Rozman (tengah),  Mahanum (lima dari kanan), dan Amir (empat dari kanan) bersama ketua-ketua jabatan dan swasta menyertai VIP Walk.

Rozman (tengah), Mahanum (lima dari kanan), dan Amir (empat dari kanan) bersama ketua-ketua jabatan dan swasta menyertai VIP Walk.

“Penyertaan hari ini kita dapati melepasi sasaran awal iaitu sebanyak enam ribu penyertaan dan dianggarkan lebih 24 ribu penyertaan melepasi sasaran 16 ribu peserta yang menyertai 123 acara pada sepanjang bulan ini.

“Fokus utama kita adalah untuk membudayakan sukan ke arah objektif utama iaitu membudayakan sukan dan mencapai misi KBS iaitu 50 peratus lebih rakyat bersukan di seluruh negara menjelang tahun 2020.

“Sambutan dan kerjasama daripada pihak agensi kerajaan, swasta, NGO Sukan, persatuan belia dan sukan amat menggalakkan dimana masing-masing memainkan peranan menganjurkan pelbagai program sukan di mana kita lihat pada hari ini sahaja lebih kurang 30 acara sukan di langsungkan seluruh Labuan,” jelasnya.

Tambahnya, BSN kali ini menampilkan sedikit kelainan kerana turut mengetengahkan sukan tradisi seperti pertandingan gasing yang dianjurkan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk mempromosi sukan tradisi itu kepada golongan muda disamping sebagai pemangkin kepada sukan-sukan yang lain selain menjadikan gasing sebagai sukan ikonik di Labuan.

-SH

Tinggalkan komen anda