Laporan/foto: Luhat Ajang (Sarawak)
KUCHING, 12 Okt 2019 (Malaysiaaktif) – Negeri Sarawak khasnya dan Malaysia amnya telah terkenal di seluruh dunia apabila tikar anyaman rotan terpanjang di dunia berjaya dihasilkan oleh komuniti Orang Ulu dari Belaga, Murum dan Baram sekaligus memecah ‘Guinness World Record’ dengan ukuran 1,128.272 meter panjang dan 28 sentimeter lebar pada 16 Mei 2016 di Dewan Masyarakat Sungai Asap, Belaga.
Pengikhtirafan sebegini bukanlah mengejutkan kerana rakyat Sarawak yang terdiri dari berbilang kaum dan pegangan agama mempunyai pelbagai kemahiran mahupun keistimewaan unik tersendiri.
Tikar merupakan satu keperluan utama khasnya dalam kehidupan harian sejak berzaman lagi. Selain untuk kegunaan di rumah iaitu untuk duduk dan berbaring, tikar juga amat berguna untuk menjemur padi, lada, ikan masin dan sebagainya. Malah, kini tikar pula boleh dijadikan hiasan dan boleh dikomersilkan.
Selain rotan, tikar juga boleh dihasilkan dari daun mengkuang yang masih banyak terdapat di hutan berdekatan dan juga boleh ditanam di tanah yang sesuai.
Dewasa ini, berbagai tikar menggunakan kaedah dan bahan moden telah dihasilkan selari dengan kemajuan teknologi.
Walau bagaimanapun, peranan tikar buatan tangan manusia dari tumbuhan semulajadi seperti rotan, daun kelapa, mengkuang dan sebagainya masih mempunyai tempat di hati terutamanya masyarakat kampung.
Sejak dari dahulu lagi tikar merupakan satu keperluan wajib di setiap rumah. Tikar dihampar untuk duduk, baring dan sebagainya. Lama – kelamaan ianya diperhalusi lagi dan dijadikan perhiasan bagi yang mempunyai bakat seni hiasan.
Kepelbagaian kaum di Sarawak menyebabkan corak mahupun cara pembuatan tikar agak berbeza bergantung kepada kemahiran dan kehendak komuniti masing – masing. Majoriti penganyam tikar adalah kaum wanita.
Mak Endek @ Jane, 68 tahun merupakan salah seorang suri rumah yang masih meneruskan salah satu tradisi yang diwarisi sejak dahulu lagi iaitu menganyam tikar mengkuang.
Waima tidak pernah mengikuti sebarang kursus anyaman, kemahiran menganyam yang diwarisi hasil dari tunjuk ajar mendiang ibunya dan golongan dewasa sekampung sejak dahulu lagi kian menambahkan keyakinan dan kemahiran beliau.
Beliau yang kemudiannya menguasai kemahiran menganyam tikar setelah menjangkau usia 18 tahun memberitahu kebanyakan tikar yang dibuat adalah untuk kegunaan sendiri sahaja dan bukan untuk dijual.
Mengambil daun mengkuang di musim kemarau lebih sesuai kerana ia boleh dijemur segera di bawah panas matahari berbanding musim hujan yang menyebabkan daun mengkuang cepat rosak kerana lembab dan berair.
Daun mengkuang yang sudah matang berwarna hijau gelap dipotong terlebih dahulu dari pangkal pohonnya, dibuang durinya dan dibelah mengikut saiz yang diingini. Ia kemudiannya direndam sekejap di dalam air panas yang mendidih dan direndam semula dalam air sejuk sebelum dijemur di bawah terik panas matahari dalam tempoh dua ke tiga hari.
Tujuan merendam daun mengkuang seketika di dalam air panas ialah untuk melembut, melunturkan sebahagian warna hijau dan seterusnya menjadikannya tahan lama.
Daun mengkuang kering pula yang hendak diwarnakan hanya perlu dicelup di dalam air panas yang telah dicampur dengan pewarna pilihan masing – masing dan dijemur sekali lagi.
Bagi Mak Endek, tikar yang selalu dibuatnya adalah tanpa pelbagai warna dan corak kerana ianya digunakan untuk menjemur padi, lada dan sebagai hamparan di dalam rumah sahaja.
Selain dari membuat tikar, Mak Endek juga sekali sekala membuat penampi padi, bakul dan hiasan lain menggunakan daun mengkuang.
Biasanya tikar untuk jemuran padi dan lada hitam pembuatannya agak kasar dan mudah rosak kerana sering terdedah dengan panas terik matahari. Tikar untuk duduk mahupun hamparan untuk tidur, pembuatannya agak teliti dan halus serta tahan lama.
Menurutnya, terdapat dua jenis mengkuang ataupun Sake’ dalam dialek Salako iaitu mengkuang liar ataupun dipanggil mengkuang hutan dan mengkuang ditanam sendiri.
“Sake’ liar dalam hutan agak kasar dan lebar daunnya. Walau bagaimanapun menanam sake’ agak jarang dilakukan kerana kekangan tanah yang sesuai berdekatan rumah.
Penduduk lebih gemar mencari sake’ di dalam hutan”, kata Mak Endek.
Biasanya mengkuang yang ditanam boleh mencapai tahap matang dan boleh diambil daunnya setelah menjangkau usia dua tahun lebih melalui penjagaan rapi.
Daun mengkuang yang hendak dibuat tikar untuk menjemur padi mahupun lada boleh juga dijemur terus tanpa melalui proses rendaman dalam air panas.
“Dahulu kami kaum wanita biasanya akan menganyam tikar pada waktu malam sesudah seharian di sawah padi mahupun kebun kami. Dengan diterangi lampu minyak tanah sahaja kami boleh menganyam tikar sehinggalah mata mengantuk.
Sekarang kita amat bertuah kerana bekalan elektrik sudah ada dan menganyam di waktu malam telah bertambah senang”, tambah Mak Endek lagi.
Mak Endek yang berasal dari Kampung Pueh, Sematan juga sering menganyam tikar bersama – sama rakan dan sanak saudara di waktu lapang sambil berbual – bual mesra seterusnya mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama penduduk kampung.
Terdapat juga segelintir masyarakat kampung yang menganyam tikar untuk dijual kepada orang kampung dan pengunjung luar yang datang ke rumah panjang mereka dan seterusnya menjana ekonomi mereka.
Mak Endek berharap agar tradisi menganyam tikar baik tikar rotan, tikar mengkuang mahupun bahan – bahan dari tumbuhan semulajadi terus dipelajari oleh generasi muda dan kalau boleh ditambah baik dari segi kreativiti, kualiti serta kuantitinya.
Percayalah, tikar anyaman boleh dikomersilkan jika diusahakan dengan bersungguh – sungguh terutamanya dijadikan hiasan setanding dengan bahan hiasan lain dalam era moden ini dengan mengekalkan nilai sentimental dan unsur kebudayaan yang terkandung di dalamnya.