Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Politeknik Merlimau Bantu Usahawan Negeri Melaka

By 13 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hadijah Kodiron (PMM)

AYER KEROH, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Perdagangan Politeknik Merlimau Melaka (PMM) dengan kerjasama Koperasi Bela Masyarakat Melaka Berhad (KOBEMAS) telah menjalankan program Tanggungjawab Sosial Politeknik (PSR) TVET–Koperasi Bela Masyarakat Melaka Memacu Kegemilangan Bersama Politeknik, di sini semalam.

Timbalan Pengarah (Akademik) PMM Rosita Zainal, berkata program tersebut telah melibatkan 10 orang usahawan yang mana tujuh daripadanya bernaung di bawah pihak KOBEMAS Berhad dan tiga usahawan lagi daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Program Tanggungjawab Sosial Politeknik ini dilaksanakan bertujuan untuk mewujudkan usaha baharu dan mengubah perniagaan usahawan sedia ada dengan membangunkan teknologi digital melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan laman sesawang bagi tujuan pemasaran.

“Maka dengan melaksanakan program ini, pelajar boleh membantu ramai usahawan IKS untuk menerokai bidang perniagaan secara dalam talian,” katanya ketika ditemui.

Bengkel PSR dedah usahawan dengan dunia digital.

Bengkel PSR dedah usahawan dengan dunia digital.

Menurut Rosita, kaedah yang digunakan ini terbukti menjadi lebih berkesan dalam merangsang kreativiti pengguna terhadap teknologi baharu dan pengembangan peluang pasaran baru.

“Diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu pelajar Diploma Pengajian Perniagaan semester 4 mencari pengalaman dan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sangat mencabar sekali gus menyumbang tenaga membantu masyarakat sekeliling,” ujarnya lagi.

Pihak penganjur turut berharap agar program ini dapat mendekatkan lagi hubungan PMM bersama komuniti setempat, usahawan KOBEMAS Berhad dan usahawan IKS lain.

Sementara itu, Penyelaras Program Hadijah Kodiron, pula berkata program ini melibatkan seramai 62 pelajar dan 12 orang staf yang berganding bahu menjayakan aktiviti PSR ini.

“Program ini melibatkan 10 syarikat yang merupakan pengusaha sekitar Negeri Melaka dan telahpun dilaksanakan secara berperingkat bermula seawal sebulan yang lalu dan fokus kepada proses pembangunan media sosial syarikat usahawan.

“Proses ini melibatkan sesi perbincangan dengan usahawan, pengumpulan maklumat dan percambahan idea,” katanya.

Tambahnya lagi, program PSR ini mendapat sambutan baik daripada pihak usahawan kerana program ini sesuai dan memberi manfaat kepada syarikat usahawan itu sendiri.

“Pelajar juga telah diterapkan dengan semangat kerja berkumpulan, kesedaran dan tangggungjawab sosial dalam kalangan pelajar bagi menjalinkan kerjasama dengan komuniti luar serta dapat berkomunikasi dengan lebih efektif,” katanya lagi.

Program telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kewangan, Pembangunan dan Pengurusan Perniagaan Koperasi Bela Masyarakat Melaka Berhad, Teo Mary Lin.

-SH

Tinggalkan komen anda