Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Program Pewaris Muda Negara Lahir Pemimpin Masa Depan

By 14 Oktober 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Robin Junang (Kuching)

KUCHING, 14 Oktober (Malaysiaaktif) – Program Pewaris Muda Negara anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak bertempat di Kampung Santubong Kuching memberi impak positif dan cukup bermakna kepada para peserta.

Seramai 30 pelajar dari Kolej Komuniti Kuching terlibat dan mereka sangat gembira kerana dapat mengikuti program tersebut di samping menimba pengalaman baru serta menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah senamrobik, sukaneka dan gotong-royong membersih pantai di kawasan Kampung Santubong.

Program ini dilaksanakan secara usaha sama antara Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sarawak dengan penduduk Kampung Santubong serta Kolej Komuniti Kuching merupakan sebahagian daripada pengisian bagi membentuk masyarakat dan ummah yang bermodal insan cemerlang.

Objektif program adalah untuk menyemai konsep Negaraku serta memupuk budaya jati diri bangsa dalam kalangan pelajar, belia dan masyarakat tempatan agar sanggup berkorban untuk memajukan bangsa dan negara.

Para peserta bersama dengan anggota JaPen menjalankan gotong-royong membersih  pantai Santubong

Para peserta bersama dengan anggota JaPen menjalankan gotong-royong membersih pantai Santubong

Di samping itu, aktiviti tersebut adalah untuk melatih para pelajar ke arah pembentukan insan yang mempunyai jati diri, bersemangat ukhuwah dan menjalinkan hubungan mesra antara anggota jabatan, para pelajar, khariah tempatan serta penduduk setempat.

Dalam ucapan perasmian penutupan program, Pengarah Penerangan Sarawak, Abang Sardon Abang Haji Hashim menyeru agar generasi muda negara bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran terutama dalam menempuh alam pembelajaran dan pekerjaan suatu hari nanti.

Beliau turut menyatakan bahawa pembelajaran TVET sekarang ini semakin mendapat tempat serta diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan.

“Anda mampu dan boleh menjadi pemimpin, tidak kira sebagai pemimpin peringkat komuniti, keluarga atau organisasi. Sebagai pewaris negara gunakanlah peluang belajar ini untuk membentuk diri anda menjadi insan berguna”, ujar beliau lagi.

Menurut Nur Syazwanie Abdul Rahman, program seperti ini amat baik sekali kerana dapat memberi pendedahan kepada para pelajar dan mereka juga dapat memberi sumbangan kepada komuniti setempat.

“Para pelajar harus diberi pendedahan dengan situasi seperti ini agar mereka lebih memahami dan menimba pengalaman dalam kerja-kerja komuniti” tambah beliau lagi.

Bagi Niza, aktiviti seperti ini amat sesuai kerana ia dapat membentuk pemikiran pelajar ke arah hidup bekerjasama di samping mengeratkan silatulrahim.

Menurut Mike, program tersebut amat menyeronokkan, menguja dan menyemarakkan semangat setiakawan, kerjasama tinggi dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Abang Sardon turut menyampaikan sijil kepada para peserta serta hadiah kepada para pemenang pertandingan sukaneka.

Antara yang hadir ialah Timbalan Pengarah Penerangan Sarawak, Ali bin Suhaili, Pensyarah Jurusan Pelancangan Kolej Komuniti Kuching, Nur Syazwanie Abdul Rahman dan ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Sarawak.

Tinggalkan komen anda