
Laporan/foto : Siti Nabila Bohari/Mohamed Hirsham Azmi (Johor)
PONTIAN, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Lembaga Pertubuhan Peladang telah menganjurkan Program Himpunan Peladang yang julung-julung kali diadakan di kawasan Pontian Selatan, menghimpunkan seramai 500 orang masyarakat peladang di sekitar Pontian Selatan.
Sektor Pertanian sering dikaitkan dengan persepsi negatif terutamanya dari kalangan orang muda, bagaimanapun dengan penggunaan peralatan moden dan teknologi terkini, persepsi negatif tersebut dapat diubah apabila melihat kepada peningkatan hasil serta pendapatan yang diperolehi.

Menteri Pertanian Industri Asaa Tani, Datuk Salahuddin Ayub semasa menyampaikan ucapan perasmian Himpunan Peladang Kawasan Pontian Selatan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, masyarakat peladang perlu berubah dari tahap lama kepada tahap baru, berubah dari cara lama kepada cara baru kerana dengan cara ini taraf ekonomi masayarakat tani dapat ditingkatkan.
“Produktiviti dalam pengeluaran makanan perlu ditingkatkan untuk memastikan pengeluaran hasil pertanian negara terus berada pada tahap terbaik terutamanya dari sudut kualiti dan keselamatan.”
“Kerajaan amat berharap dengan usaha-usaha yang dirangka bagi memajukan sektor pertanian ini, dapat meningkatkan lagi pengeluaran secara efisyen dan berkualiti serta ia dapat direalisasikan menerusi pengembelingan bersepadu daripada jabatan, agensi mahupun seluruh warga peladang, petani dan penternak,” katanya semasa merasmikan Majlis Himpunan Peladang Kawasan Pontian Selatan pagi tadi.
Ujar Salahuddin lagi, kerajaan akan terus membantu peladang, penternak dan nelayan bagi memajukan aktiviti pertanian mereka dan berdasarkan belanjawan 2020 yang telah dibentangkan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah menerima peruntukan sebanyak RM4.9 bilion di mana penumpuan diberi kepada sektor pertanian termasuklah pemberian elaun dan skim bagi para petani dan nelayan yang masih diteruskan serta langkah permodenan dalam meningkatkan produktiviti warga petani, peladang, penternak dan nelayan.
“Saya berharap satu reformasi dalam sektor pertanian akan berlaku dengan harapan petani dan peladang tidak bergantung kepada satu komoditi sahaja.”
“Masyarakat peladang, penternak dan nelayan perlu berubah dengan meningkatkan keupayaan pengetahuan serta penggunaan teknologi agar hasil dapat ditingkatkan secara maksima,” ujarnya lagi.
Pelbagai pengisian disusun sepanjang program ini berlangsung diantaranya Pelancaran PKlik iaitu Sistem Permohonan Ahli Secara Online yang dibangunkan ke arah menjadikan ahli peladang seramai satu juta di mana sistem ini amat memudahkan masyarakat peladang yang berminat untuk menjadi ahli kerana ia amat mudah, pantas dan semuanya di hujung jari sahaja.
Himpunan Peladang pada hari ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti aerodance, kursus pembuatan roti dan pastry PeladangNita, bengkel rancangan perniagaan peladang muda serta jualan promosi gerai usahawan.
Menteri Pertanian Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub juga turut menyempurnakan acara flag off sempena countdown Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 dengan melepaskan kenderaan jabatan serta agensi yang akan bergerak bagi mempromosikan HPPNK 2019.
Pada tahun ini, HPPNK 2019 akan diadakan di Angsana Johor Bahru Mall bermula 28 November sehingga 1 Disember 2019 dengan menyasarkan kehadiran para pengunjung dari Singapura dan seluruh Malaysia khususnya bagi melihat sejauh mana perkembangan produk dan hasil keluaran pengusaha-pengusaha dalam sektor pertanian dan industri asas tani.
HPPNK turut mengetengahkan konsep Permodenan Pertanian dan Teknologi dengan beberapa tarikan seperti budaya dan senitani, kenduri rakyat nasi ambeng, agro kulinari, job fair, urusniaga tanpa tunai, 350 gerai usahawan, 345 menu etnik pelbagai suku kaum di Malaysia dan Empayar, trak makanan serta pelbagai pengisian aktiviti dan pengalaman pertanian di tapak utama program.
Turut hadir bersama, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Datuk Mazlan Aliman, Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Azulita Salim.
-NI-