
Laporan/foto : Shazreen Suradi/Mohd Zahid Othman (Pontian)
PONTIAN, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.165 Tanjung Piai.
Pencalonan Karmaine diumumkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di Tanjung Piai di sini, hari ini.
Karmaine merupakan anak jati Parlimen Tanjung Piai yang dilahirkan di Peradin Telok Kerang, Pontian pada tahun 1953.
Beliau mempunyai kelulusan Diploma Seni Bina dari Universiti Teknologi Malaysia UTM) dan Diploma Lanjutan Seni Bina dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta pernah berkhidmat sebagai guru sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang dan sebagai Pembantu Teknik dan Arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Karmaine turut bertanding sebagai calon PH di Parlimen Pontian, tetapi tewas kepada calon BN, Ahmad Maslan dengan majoriti 833 undi.
PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat masalah jantung pada 21 September yang lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 November ini sebagai hari penamaan calon dan 16 November sebagai hari mengundi bagi PRK Tanjung Piai.
-NI-