
Laporan/foto: Ramasamy Amas (Jempol)
JEMPOL, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bahau Teo Kok Seong menyifatkan acara sukan platform terbaik dalam menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum mahupun usia.
“Ianya amat penting bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental dan seharusnya amalan acara sukan dijadikan sebagai rutin harian,” katanya semasa merasmikan majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara (BSN) Peringkat Daerah Jempol di Kompleks Rakan Muda Bandar Seri Jempol, di sini pagi tadi.
Kok Seong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahaan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, berkata Kementerian Belia dan Sukan menganjurkan pelbagai acara sukan sepanjang tahun bukan sahaja sebagai medan merebut kejohanan, malah dapat menyatupadukan rakyat di Negara ini.
“Hari ini pelbagai pihak berhimpun bagi menjayakan acara BSN pagi ini dan membuktikan sokongan orang ramai dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi BSN Peringkat Daerah yang juga Pegawai Daerah Jempol Mas Midyawan Yahya, berkata Daerah Jempol telah menyasarkan tujuh ribu penyertaaan BSN sepanjang bulan ini.
“Hari ini sahaja kita berjaya menghimpunkan lebih kurang 1,500 penyertaan yang telah menyertai pelbagai acara sukan yang bermula sejak 7.30 pagi dan akan berakhir petang nanti.
“Bukan sahaja aktiviti berkaitan sukan berjaya dilaksanakan malah sebelum ini acara pendakian Bukit Bunga, Bukit Serting Ulu pun turut diadakan dan bakal mendaki Bukit Taiso dalam masa terdekat yang juga merupakan antara tempat-tempat tumpuan bagi aktiviti pendakian,” tambahnya.
-SH