Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

AKAM Wadah Aspirasi Anak Muda

By 12 Oktober 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Eviannie Kin/ Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)

PAPAR, 12 Okt (Malaysiaaktif): Mungkin mudah untuk menghafal lima prinsip Rukun Negara tapi tidak ramai yang dapat menghayati dan menerapkan sepenuhnya amalan prinsip itu dalam kehidupan seharian.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Rachael Tung Ven Ven, 20, pelajar Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut apabila segelintir golongan belia sepertinya yang kurang penghayatan dan mengambil ringan tentang matlamat prinsip-prinsip Rukun Negara.

“Seingat saya, kali terakhir melafaz Rukun Negara adalah semasa sekolah rendah dan apabila ke sekolah menengah tidak lagi kerap melafaz lima prinsip tersebut,” katanya.

Tambah Rachael, kini paling ketara prinsip yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan yang semakin pudar amalannya dalam kalangan anak-anak muda.

“Belia seperti kami perlu sentiasa diingatkan bahawa setiap matlamat dan prinsip Rukun Negara yang dilafazkan sebenarnya mempunyai maksud tersirat yang harus dihayati dan dipraktikkan setiap hari.

Rachael Tung Ven Ven

Rachael Tung Ven Ven

“Melalui forum, ceramah dan aktiviti-aktiviti kenegaraan yang berterusan sudah tentu mampu memupuk penghayatan Rukun Negara dalam kalangan belia,” katanya.

Rachael amat menghargai pendekatan kerajaan yang menyediakan platform anak-anak muda untuk bersuara seperti Forum Apa Kata Anak Malaysia (AKAM): Sayangi Malaysiaku merupakan suatu ruang dan peluang kepada mereka dapat mengupas lebih lanjut mengenai isu-isu semasa.

Program Forum AKAM anjuran Jabatan Penerangan Sabah bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan golongan muda dengan menyediakan peluang untuk mereka memberikan aspirasi dan harapan ke arah bersama-sama membina negara yang aman dan makmur.

Sementara itu, selaku salah seorang panel forum AKAM, Mohd. Shakendy Ahmad, 21, yang merupakan siswa kursus Biologi Pemuliharaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersemangat semasa mengutarakan pandangan di samping mengupas isu-isu mengenai Rukun Negara di hadapan kira-kira 500 anak-anak muda.

Menurut Shakendy, platform yang tersedia dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengajak anak muda berfikir semula tentang kepentingan penghayatan prinsip Rukun Negara dalam membina negara yang kukuh perpaduannya agar dapat hidup aman makmur.

Kelihatan Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu, Hendry Nurdin (kiri) selaku moderator bersama dengan Shakendy (dua dari kiri), siswa UMS, Mohd. Syahiran Mohd (dua dari kanan) dan bakal guru, Nurul Syafiqah Dailin (kanan).

Kelihatan Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu, Hendry Nurdin (kiri) selaku moderator bersama dengan Shakendy (dua dari kiri), siswa UMS, Mohd. Syahiran Mohd (dua dari kanan) dan bakal guru, Nurul Syafiqah Dailin (kanan).

“Tidak dinafikan kesedaran anak-anak muda dalam hal sedemikian adalah rendah, maka ruang dan peluang ini saya gunakan sepenuhnya untuk bersuara menyampaikan pandangan dan pendapat saya sebagai orang muda.

“Jika diberi masa yang lama, banyak lagi perkara yang saya ingin sampaikan,”katanya penuh harapan.
Selain itu, pada masa sama, beliau giat menghasilkan video-video kenegaraan dan isu-isu semasa seterusnya memuat naik ke media sosial untuk menyebar mesej-mesej positif kepada golongan belia melalui laman page Facebook ‘Kongsi Ler’.

Manakala bagi Mohd. Jikrul Mondongod, 23, pelajar IKBN dalam kursus Penjagaan Elektrik memberitahu bahawa dia menerima banyak input-input berguna melalui forum tersebut.

“Antaranya mengenai isu penggunaan media sosial yang sememangnya menjadi fenomena dalam kalangan anak muda pada zaman sekarang.

“Mesej utama yang saya dapat adalah iaitu elak menggunakan media sosial secara keterlaluan tetapi gunakan secara berhemah.

Mohd. Jifirul Mondongod

Mohd. Jifirul Mondongod

“Contohnya tidak mengeluarkan komen-komen yang memudaratkan diri atau orang lain,” jelasnya.

Forum itu yang bukan sahaja membincangkan isu Rukun Negara malah juga turut mengupas Impak Media Sosial dan Sumbangan Generasi Muda kepada Negara.

Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Pegawai Daerah Papar, Ghulam Rasul Hapil yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar di Dewan Limau-Limauan, IKBN Kinarut di sini, pada Sabtu.

ER

Tinggalkan komen anda