Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Tujuh Minit Bergelap di Gua Sireh

By 11 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Zainaudin Ab Hamid (Baling)

BALING, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Perasaan takut, berdebar dan teruja apabila lampu ditutup selama tujuh minit amat dirasai oleh 30 peserta Kembara Kelab Malaysiaku Daerah Baling ketika berada 400 meter di dalam Gua Sireh kelmarin.

Ahli Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siong Hamizan Selamat, berkata perasaan ini lebih terasa apabila semua perserta disuruh untuk membaca surah al-Kahfi ayat 1-10 di dalam kegelapan gua.

“Saya tidak akan melupakan pengalaman ini di mana ia membuatkan saya lebih menghargai alam ciptaan tuhan yang amat berharga dan memberikan suntikan motivasi kepada saya untuk muhasabah diri dan menjadi insan yang berguna kepada keluarga dan masyarakat,” ujarnya ketika ditemui setelah menjelajah Gua Sireh, di sini.

Peserta mula memasuki gua

Peserta mula memasuki gua.

Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Siong Kamilah Baserah, berkata objektif program ialah supaya peserta dapat mencintai alam semula jadi serta menguji stamina dan kekuatan serta semangat jati diri peserta.

“Saya sendiri dapat merasai pengalaman baharu apabila gua yang dipasang lampu sejauh kira-kira 300 meter oleh pihak persatuan penduduk Kampung Dalam Wang  yang menguruskan gua ini kita dapat melihat dengan lebih jelas siling dan dinding gua yang menakjubkan termasuk stalagtit dan stalagmit yang berusia ribuan tahun,” katanya.

“Di beberapa sudut lain dalam gua itu juga terdapat pelbagai imej unik dan menarik, antaranya bentuk batu orang sedang membaca al-Quran, bentuk bayi, kambing, serigala dan banyak lagi,” katanya.

Keadaan dalam gua yang dihiasi stalagtit dan stalagmit yang berusia ribuan tahun.

Keadaan dalam gua yang dihiasi stalagtit dan stalagmit yang berusia ribuan tahun.

Pegawai Penerangan Daerah Baling Mohamad Rabi Wahab, berkata program ini untuk memberi kesedaran kepada peserta terdiri dari ahli-ahli Kelab Malaysiaku untuk mencintai khazanah alam semulajadi.

“Mereka harus diberi kesedaran betapa pentingnya alam sekitar ini dipelihara dalam usaha mengekalkan khazanah alam untuk tatapan generasi akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan penutup program Kembara Kelab Malaysiaku daerah Baling ke Gua Sireh.

Seramai 30 orang ahli-ahli kelab dan guru penyelaras dari tiga buah Sekolah iaitu SMK Siong, SMK Baling dan SMK Syed Abu Bakar menyertai program ini.

-SH

Tinggalkan komen anda