Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

160 Pelajar Sertai Karnival K3P Peringkat Kebangsaan 2019

By 9 November 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Idris Sani Saberun (Kota Kinabalu)

MELAKA, 9 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 160 pelajar dari 16 buah negeri seluruh Malaysia berkampung selama tiga hari bermula 7 November ini bagi menghadiri Karnival Kelab Program Pelancongan Pelajar (K3P) Peringkat Kebangsaan 2019.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan kepada para pelajar terhadap kepentingan industri pelancongan negara selain mempromosi aktiviti pelancongan domestik bagi memupuk budaya melancong sambil belajar dalam kalangan pelajar.

“Program ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar terhadap prospek kerjaya dalam industri pelancongan.

“Memberi pengalaman dan membina persepsi positif para pelajar terhadap produk-produk pelancongan dan kebudayaan negara.

“Memupuk budaya kesukarelawan dikalangan pelajar dalam menjaga kebersihan dan kehijauan negara, khususnya di tempat-tempat pelancongan,” jelas beliau ketika merasmikan Karnival K3P tersebut di Melaka Raya, baru-baru ini.

Tambah beliau, pengisian karnival pada tahun ini meliputi aktiviti berteraskan industri pelancongan dan kebudayaan.

Haslina ketika berucap pada majlis perasmian.

Haslina ketika berucap pada majlis perasmian.

“Para pelajar akan dibawa ke Program Voluntourism dan Pengalaman Homestay di Kampung Morten, lawatan produk pelancongan di Dutch Square, St. Paul Hill, Muzium Sejarah Melaka dan Porta De Santiago.

“Selain daripada itu, setiap wakil negeri akan diberi tugasan dan bertanding untuk dua aktiviti pertandingan iaitu Pertandingan Tourism Explorace K3P dan Pertandingan Projek Video Promosi Pelancongan.

“Pengisian yang dipilih ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada semua peserta mengenai peranan MOTAC dalam merancakkan industri pelancongan dan kebudayaan negara selaras dengan keperluan semasa,” katanya.

Haslina turut mengajak semua masyarakat terutama golongan belia untuk sama-sama membantu MOTAC dalam mempromosikan pelbagai produk pelancongan melalui platfom media sosial.

Usaha ini secara tidak langsung akan membantu MOTAC dalam mencapai sasaran kemasukan 30 juta pelancong dengan sasaran pulangan RM100 bilion menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Untuk rekod, negeri Sabah diwakili 10 orang pelajar dengan dua orang guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan SANZAC Kota Kinabalu.

Para pelajar SMK SANZAC merakamkan gambar kenangan dihadapan Bangunan Memorial Peristiharan Kemerdekaan ketika mengikuti rombongan lawatan produk pelancongan sekitar bandar Melaka.

Para pelajar SMK SANZAC merakamkan gambar kenangan dihadapan Bangunan Memorial Peristiharan Kemerdekaan ketika mengikuti rombongan lawatan produk pelancongan sekitar bandar Melaka.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri MOTAC, Mohanasundari Selvaraj dan Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran Malaysia, Roslan Shaarip.

ER

Tinggalkan komen anda