Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Konsep Rahmah Sesuai Untuk Semua Kaum

By 9 November 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 9 Nov (Malaysiaaktif) – Konsep rahmah dalam Islam merupakan konsep yang mempunyai pendekatan bersesuaian sama ada kepada Muslim atau bukan Muslim.

Menurut Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, etnik, bahasa, budaya dan agama memerlukan satu formula yang sesuai dengan konteks Malaysia iaitu Model Negara Rahmah.

“Sebuah negara yang berintegriti seharusnya ditadbir urus dengan baik, mengamalkan kedaulatan prinsip hukum, masyarakatnya berilmu, berakhlak saling hormat-menghormati, adil dalam mengagihkan kekayaan negara dan memastikan pembangunan lestari.

“Terdapat tiga teras utama pembinaan negara Rahmah dan bagi memudahkan kefahaman dan penghayatan Model Negara Rahmah ini, enam nilai dibentuk untuk menterjemahkan ekosistem pentadbiran Negara Rahmah, iaitu R (Ramah), A (Aman), H (Harmoni), M (Mesra), A (Alami) dan (Hormat),” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019M Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, pagi tadi di Dataran Labuan.

Rozman (empat dari kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada Halimah.

Rozman (empat dari kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada Halimah.

Rozman turut menyeru agar masyarakat dapat hidup dalam suasana persekitaran yang harmoni dan seimbang.

“Masyarakat dapat mempelajari erti menerima kepelbagaian dalam kehidupan, seterusnya menjauhi sifat taksub dan melampau dalam mencintai sesuatu bangsa.

“Selain itu, dengan keamanan dan kedamaian masyarakat majmuk dapat melahirkan kestabilan yang baik dari sudut politik, ekonomi dan sosial,” jelasnya lagi.

Rozman mengajak umat Islam di sini untuk menjauhi segala tindakan yang boleh memburukkan agama Islam dan menimbulkan permusuhan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Sentiasa sematkan dalam fikiran bahawasanya muafakat membawa berkat kerana Islam menyeru kepada perpaduan dan keharmonian hidup sesama manusia bukan sebaliknya,” tambahnya.

Sementara itu, Halimah Saian, 59, dianugerahkan Tokoh Maulidur Rasul 2019 atas sumbangan beliau yang aktif menjadi pengajar di Surau Pasar Sentral, Kampung Bukit Kuda dan Kampung Lajau.

Seramai 4624 umat Islam dari 90 buah kontinjen menyertai perarakan pada sambutan Sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

-SH

Tinggalkan komen anda