Laporan/foto: Matfazly Mat Kasim/Ahmad Sarujin Seting (Kota Kinabalu)
SANDAKAN, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 235 orang dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Mendahului senarai adalah dua penerima Darjah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) iaitu Ahli Perniagaan, Datuk Peter Sak Moon Loong dan Penasihat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Tong King Kiong.
Tun Juhar turut menganugerahkan pingat kepada tujuh orang penerima darjah Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) antaranya ialah Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Mohd Hamsan Supain disusuli Abdul Rahman Bun @ Budin, Abdul Karim Maming, Yusof Ammoh Sulaiman, James Leong Tshun Kian dan Sharin Abdul Rahman.
Selain itu, Tun Juhar juga menyampaikan Ahli Darjah Kinabalu (ADK) kepada 49 penerima darjah kebesaran Ahli Darjah Kinabalu (ADK) serta darjah kebesaran Bintang Setia Kinabalu (BSK) kepada 92 penerima.
Bagi Bintang Kinabalu (BK) pula, Pembantu Penerangan di Jabatan Penerangan Daerah Sandakan, R. Fauzi Lahap antara penerima bersama 58 orang penerima lain manakala 26 orang lagi menerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (SK).
Majlis yang diadakan di Dewan Masyarakat Sandakan, pada Ahad itu turut dihadiri isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Datuk Dr Jaujan Sambakong serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, pembantu-pembantu menteri, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.
ER