Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kerajaan Bersungguh Pastikan Rakyat Dapat Pembelaan Terbaik – Amirudin

By 25 November 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyatakan kerajaan negeri dan pusat sedang berusaha bersungguh-sungguh memastikan semua rakyat mendapat pembelaan yang terbaik daripada pimpinan.

Katanya, Kerajaan Selangor terus melaksanakan projek dan program pembangunan rakyat dengan mengenepikan semua perbezaan agar segenap golongan di negeri ini mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Selangor terus menerus melakukan beberapa projek dan program pembangunan rakyat dengan mengenepikan perbezaan warna kulit, agama dan fahaman untuk pastikan warganya mendapat layanan yang terbaik di segenap golongan.

“Setiap tahun kerajaan negeri akan berbelanja sehingga RM26 juta untuk membantu sekolah-Sekolah Jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Agama Rakyat sejak 2008,” katanya.

Namun begitu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua menyelar pihak tertentu yang sanggup bermain politik perkauman yang sempit dalam memenuhi matlamat politik mereka.

Pengunjung Majlis Rumah Terbuka Deepavali DUN Sungai Tua bersalaman dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Pengunjung Majlis Rumah Terbuka Deepavali DUN Sungai Tua bersalaman dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Menurutnya, pihak tersebut dilihat bersikap ‘lidah bercabang’ ketika bertemu kaum-kaum berlainan di negara ini untuk mengelirukan rakyat.

“Ketika mereka bertemu masyarakat Tionghua, mereka menakut-nakutkan kononnya Perdana Menteri bersikap rasis, anti orang Cina dan anti masyarakat berbilang kaum dalam negara kita.

“Ketika mereka bertemu masyarakat Melayu pula, mereka menyebutkan bahawa (hak) orang Melayu mula terhakis serta sedang berdepan cabaran kebangkitan masyarakat bukan melayu.

“Diharapkan rakyat Selangor khususnya tidak terpengaruh dengan permainan politik propaganda yang digunakan sebahagian daripada mereka yang tidak jujur untuk membangunkan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin semasa Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat DUN Sungai Tua di Dewan Siantan, Jalan Sungai Tua, di sini semalam.

Amirudin mengagihkan sumbangan Deepavali kepada kanak-kanak yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Deepavali DUN Sungai Tua.

Amirudin mengagihkan sumbangan Deepavali kepada kanak-kanak yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Deepavali DUN Sungai Tua.

Turut hadir ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan Timbalan Yang diPertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Dr Juhari Ahmad.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata di bawah Pakatan Harapan (PH) negeri Selangor terus maju dan membangun.

“Saya baru pulang dari menghadiri ‘Smart City Expo World Congress 2018? (SCEWC) di Barcelona, iaitu persidangan antarabangsa berkenaan bandar pintar.

“Selangor merupakan negeri pertama di Malaysia yang dijemput ke persidangan tersebut di rantau ini selain Jakarta dan Bandung.

“Kita berada di landasan yang betul untuk mencatatkan kejayaan dan melakukan perubahan dalam negara,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda