Laporan /Foto: Khairudin AM (Negeri Sembilan) / Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)
KUALA PILAH, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 20 orang peserta Program Pengukuhan Pasukan Ahli Mesyuarat Pengurusan (AMP) Politeknik Port Dickson (PPD) telah berjaya menawan puncak Gunung Angsi, di sini Sabtu lalu.
Pendakian yang bermula dari trek Taman Rekreasi Ulu Bendul itu mempunyai laluan yang mencabar ditambah dengan cuaca hujan menjadikan para peserta lebih berhati-hati dengan keadaan yang basah dan licin.
Penganjuran program pengukuhan pasukan tersebut bertujuan untuk menerapkan rasa sayangkan organisasi di kalangan pekerja sejajar dengan misi dan objektif PPD disamping meningkatkan semangat kerjasama antara kakitangan.
Program yang berlangsung selama dua hari tersebut diadakan di Kem Taman Eko-Rimba Ulu Bendul, Kuala Pilah, turut disertai oleh Ketua Jabatan Sukan, Ko-Kurikulum dan Kebudayaan, Azizul Azrin Mahmor, selaku Pengarah Program Pengukuhan Pasukan AMP Politeknik Port Dickson.
Pengarah PPD, Roslee Yahya, berkata beliau amat berbangga akan kerjasama dan sokongan yang ditunjukkan oleh semua AMP dalam menjayakan program tersebut.
““Saya yakin banyak pengalaman dan pengajaran yang boleh dikongsi dan berguna kepada semua dan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menawan puncak,” katanya selepas berjaya mendaki ke puncak gunung setinggi 825 meter itu.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam PPD, Rozita Ibrahim, berkata ianya merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Kesemua pendaki memerlukan ketahanan fizikal dan semangat yang kental untuk sampai ke puncak, dan dengan kerjasama jitu yang ditunjukkan oleh semua AMP membolehkan program ini dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya ketika ditemui.
Antara pengisian program yang lain ialah aktiviti senaman pagi , santai minda, gotong-royong, sambutan hari lahir dan aktiviti riadah di air terjun Ulu Bendul.
Selain itu, aktiviti sebegini dapat membantu merancakkan aktiviti reakreasi di Negeri Sembilan disamping memberi peluang kepada penggiat aktiviti mendaki untuk melebarkan jaringan sosial mereka antara satu dengan yang lain.
-AK