Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Wakil Wilayah Persekutuan Labuan menyapu bersih kejuaraan bagi kedua-dua kategori pada pertandingan papan nada Keyboard Music Time Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Zon Malaysia Timur Tahun 2019, di sini semalam.
Pada pertandingan tersebut, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan II W.P Labuan menjuarai Kategori Tahap Satu manakala SK Sungai Bedaun W.P Labuan menjuarai kategori Tahap Dua.
Bagi Guru Muzik SK Pekan II Naji Naridin, persiapan yang singkat tidak menghalang mereka untuk melakukan yang terbaik pada pertandingan tersebut.
“Saya amat gembira dengan keputusan ini walaupun merasa tertekan kerana terpaksa membuat persediaan dalam masa yang singkat bagi menghadapi saingan daripada kumpulan-kumpulan lain yang tidak kurang hebatnya.
“Kami akan membuat persediaan yang lebih rapi selepas ini untuk menghadapi peringkat seterusnya di samping mendapat sokongan yang padu daripada semua guru-guru serta para ibu bapa yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu Guru Besar SK Sungai Bedaun Dg. Sarifah A.Mahmod, berkata beliau bersyukur atas kejayaan sekolah itu menjadi juara bagi kategori tahap dua.
“Sudah pasti saya gembira dan bersyukur kerana anak-anak buah telah mempamerkan satu persembahan yang sangat memukau walaupun hanya mengambil masa sebulan untuk membuat persiapan.
“Kami akan membuat persembahan yang lebih mantap untuk cuba mencipta kejayaan pada peringkat seterusnya,” katanya.
Pertandingan anjuran Yamaha Music Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu terbahagi kepada dua kategori iaitu tahap satu untuk pelajar tahun satu hingga tahun tiga dan tahap dua yang melibatkan pelajar tahun empat hingga tahun enam.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Labuan Raisin Saidin, berkata pengajaran dan pembelajaran boleh menjadi lebih menarik dengan adanya suntikan muzik.
“Hasrat untuk melahirkan generasi muda yang berbudaya inovatif dan kreatif dapat direalisasikan dengan penyerapan elemen muzik dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
“Hal ini tentu sekali boleh menjadi penggerak kepada perkembangan pendidikan pada masa hadapan dan warga pendidik seharusnya mengaplikasikan pendidikan muzik di dalam bilik darjah bagi menyumbang kepada kemajuan pendidikan seterusnya membawa kepada pembangunan negara,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pertandingan tersebut.
-SH