Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan mengharumkan Wilayah Persekutuan Labuan selepas muncul johan pertandingan Projek Video Promosi sempena Karnival Kelab Program Pelancongan Pelajar (K3P) peringkat Kebangsaan yang diadakan di Melaka baru-baru ini.
Pasukan SMK Labuan yang diwakili lima pelajar tingkatan empat iaitu Muhammad Haziq Afdlin Roziman, Kizzer Poh Wee Shen, Nur Hazareyna Eyzanie Abd Rashid, Nurul Zakyrah Jafry dan Siti Zahara Sulaiman menerima hadiah wang tunai RM1,500, medal dan sijil penghargaan.
Guru Pembimbing Rafidah Md Pee, mengucapkan terima kasih atas sokongan padu pengetuanya Ismail Abdullah, sehingga membolehkan peserta acara Projek Video Promosi meraih kejayaan yang cemerlang pada peringkat kebangsaan.
Sementara itu, Ismail berkata kemenangan manis itu merupakan penutup kegemilangan SMK Labuan pada tahun 2019 dan ianya sumbangan kecil SMK Labuan untuk meletakkan nama Wilayah Persekutuan Labuan di mata negara supaya masyarakat luar lebih mengenali Labuan.
“Tahniah dan terima kasih kepada Cikgu Rafidah dan Cikgu Alicia Pinsom, Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Labuan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa yang banyak membantu merealisasikan kejayaan murid-murid SMK Labuan di peringkat kebangsaan pada tahun ini,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Naib johan bagi pertandingan tersebut disandang SMK Bukit Rangin Kuantan, Pahang dan tempat ketiga dimenangi SMK Sultan Sulaiman, Terengganu.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Isham Ishak.
-SH