Laporan/ foto: Muhammad Arief/ Muhamad Khairul Faizal (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 368 orang daripada 19 Kontinjen menyertai Sambutan Maulidur Rasul 1441H Peringkat Daerah Cameron Highlands bermula dari tapak Pasar Malam Tanah Rata melalui beberapa jalan utama sehinggalah ke Masjid Abu Bakar Tanah Rata, di sini, semalam.
Menurut Qadi Pejabat Daerah Cameron Highlands, Muhamad Yusri Aman, sambutan Maulidur Rasul pada kali ini menunjukkan kerjasama yang amat baik antara jabatan serta agensi kerajaan dan swasta.
“Kehadiran dan kerjasama semua pihak pada tahun ini sangat baik apabila sambutan yang bermula seawal jam lapan pagi berkumpul di Tapak Pasar Malam Tanah Rata bergerak sambil berselawat dan salam ke atas Rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW dengan rasa penuh semangat sehinggalah tamat di Masjid Abu Bakar Tanah Rata,” ujarnya.
Tambah Yusri, sambutan pada tahun ini juga lebih meriah kerana pelbagai aktiviti telah diadakan seperti jualan produk-produk muslim, kuliah Dhuha, pemeriksaan kesihatan, persembahan nasyid, ceramah perdana serta cabutan bertuah.
Ahli Peniagaan, Norol Azlan Hamzah berkata, “sambutan Maulidur Rasul sebagai acara tahunan adalah sangat terpuji kerana sebagai umat Islam kita perlulah sentiasa mengingati Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad SAW agar adab dan kehidupan Rasulullah sentiasa menjadi ikutan umat Islam.”
“Saya sangat teruja melihat perarakan tadi serta sambutan dan aktiviti yang sangat meriah di perkarangan masjid, amat baik dalam mengimarahkan masjid kepada umat Islam di sini,” ujarnya lagi.
Sambutan gilang-gemilang Maulidur Rasul Daerah Cameron Highlands merupakan anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands dengan kerjasama Masjid Abu Bakar Tanah Rata, Masjid Kayangan Brinchang, jabatan serta agensi kerajaan dan swasta.
-KN