Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Muo Bersukan

By 25 November 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:  Ezzaty Razimi/Shazreen Suradi (Muar)

MUAR, 25 Nov ( Malaysiaaktif) – “Majulah sukan untuk Negara” merupakan perumpamaan yang acap kali kedengaran bagi membangkitkan semangat kesukanan dalam diri seluruh rakyat Malaysia.

Seiring masa berlalu, sukan menjadi aktiviti kegemaran dan bukan hanya aktiviti sampingan di masa lapang,  sejajar dengan galakan dan sokongan kerajaan yang menggalakan rakyat di Negara ini untuk aktif bersukan, kini dapat dilihat orang ramai mula menjinakkan diri untuk menyertai pelbagai jenis sukan seperti fun ride, fun run dan banyak lagi.

Bersempena Hari Sukan Negara pada bulan lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengambil inisiatif untuk memupuk semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan masyarakat tempatan di Muar dengan menganjurkan Pesta Sukan Muar yang diadakan pada 23 November.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melepaskan para peserta fun run.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melepaskan para peserta fun run.

Syed Saddiq turut mengajak masyarakat tempatan untuk menjadikan sukan sebagai aktiviti riadah bersama keluarga disamping dapat mengeratkan silaturrahim di mana bersukan juga dapat menjamin kesihatan yang baik banyak memberikan manfaat kepada tubuh badan kita.

“Di Muar memang banyak juadah sedap yang boleh didapati dengan mudah, daripada sarapan pagi, makan tengahari, minum petang sehingga ke makan malam tetapi perlu diingat setiap makanan yang diambil perlu berpada dan diimbangi dengan kegiatan sihat seperti bersukan,” ujar Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Tambah beliau lagi, senaman perlu dilakukan setiap kali mengambil makanan yang tinggi kalori dan kolesterol walaupun hanya dengan gerakan yang ringkas serta pantas serta senaman mudah ini boleh dilakukan di rumah mahupun di pejabat yang secara tidak langsung dapat menjimatkan masa.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil peluang bermain badminton beregu bersama para peserta.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil peluang bermain badminton beregu bersama para peserta.

Syed Saddiq ini turut meluangkan masa bermain badminton beregu dan bola tampar bersama masyarakat tempatan selepas merasmikan majlis ini dan lebih istimewa Pesta Sukan yang diadakan ini turut menampilkan para pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio seperti Abdul Latif Romly, Mohamad Ridzuan Mohammad Puzi, Mohamad Aliff Mohamad Awi, Nasharuddin Mohd dan Muhammad Afiq Mohamad Ali Hanafiah.

Eddy Hafifi Chuai, 33, menyatakan perasaan teruja dan gembira kerana dapat bersama–sama ahli keluarga lain yang turut mengambil kesempatan dalam pesta sukan yang diadakan kali ini yang mana aktiviti ini sangat istimewa kerana diadakan secara besar–besaran untuk masyarakat setempat.

Menurut Salina Haidi, 36, berkata “Saya rasa Pesta Sukan Muar ini perlu dijadikan aktiviti tahunan di peringkat daerah.

“Mungkin selepas ini lebih banyak Jabatan atau Agensi Kerajaan boleh turut serta menjadikan pesta ini lebih meriah dan informatif.”

Pelbagai acara telah diadakan bersempena Pesta Sukan Muar yang julung kalinya dijalankan dan diantaranya adalah Fun Ride, Fun Run, Bola Tampar, Bola Jaring, Badminton Beregu, Futsal Padang, Ragbi Sentuh, Sepak Takraw, E-Sports dan beberapa aktiviti sukan rakyat serta cabutan bertuah turut berlangsung memeriahkan pesta tersebut.

-NI-

Tinggalkan komen anda