Laporan/foto : Norsaedah Haron/Arshad Hamid (Kluang)
KLUANG, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Sambutan Maulidur Rasul Masid Jamek Al-Kauthar atau lebih dikenali sebagai Masjid India Muslim Kluang, yang disambut secara tradisi saban tahun di mana tahun ini ia diadakan pada 23 November, dengan kehadiran sekurang-kurangnya 1500 orang.
Kemeriahan sambutan Maulidur Rasul di Masjid India Muslim Kluang yang sememangnya dinanti-nantikan oleh masyarakat setempat setiap tahun, di mana pada tahun ini jawatankuasa masjid menyediakan jamuan untuk kira-kira 3,000 orang, di samping bungkusan makanan yang turut disediakan dan diedarkan pada waktu tengah hari.
Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang diadakan, ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin telah mengambil peluang untuk menyantuni dan mendekati komuniti India Muslim di sini, yang banyak menyumbang kepada ekonomi tempatan terutamanya di dalam sektor perniagaan dan perusahaan kecil setempat.
ADUN Mengkibol sebelum ini juga telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM15,000 kepada Masjid tersebut untuk membaiki kerosakan tembok tangga yang sudah mula roboh dan kerja tersebut kini dalam fasa akhir dan hampir siap.
“Ini merupakan satu pengalaman yang sangat baik untuk saya, di samping dapat memahami tradisi sambutan Maulidur Rasul ini, saya juga dapat berjumpa dengan komuniti minoriti ini yang akan berkumpul setiap tahun untuk menyambut sambutan ini,” ujar Chew Chong Sin
Menurut Pengerusi Masjid Hassan CK Hassan, “terdapat beberapa surau atau madrasah India Muslim dalam daerah Kluang, tetapi cuma Masjid India Muslim Kluang bertaraf Masjid Jamek dan mengadakan solat fardhu Jumaat setiap minggu.”
Berbeza dengan masjid-masjid yang mempunyai kariah ataupun ahli berdasarkan kawasan masjid, Masjid India Kluang mempunyai ahli daripada komuniti India Muslim di seluruh daerah Kluang.
-NI-