Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

Pelajar Tahfiz Ceburi Bidang Kemahiran

By 21 November 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Salawati Bt Md Shariff (Seberang Perai Utara)

KEPALA BATAS, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Program santai minda di Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB) anjuran Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Utara baru-baru ini telah melibatkan pelajar-pelajar tahfiz dari Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang, Madrasah Al-Aminiah, Sekolah Menengah Tahfiz Sains dan Teknologi dan Madrasah Al Quran Wal Arabiyah.

Peruntukan secara ‘one off’ disalurkan oleh JAKIM kepada KKKB khas untuk membiayai pelajar-pelajar tahfiz ini bagi mengikuti dua jenis kursus iaitu penghasilan mee kuning dan nasi arab. KKKB di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi telah dipilih sebagai pelaksana kursus tersebut.

Demontrasi menghasilkan produk makanan

Demontrasi menghasilkan produk makanan

Ianya jelas membuka peluang lebih luas kepada pelajar tahfiz untuk menceburi bidang kemahiran tanpa mengabaikan pendidikan al-Quran. Selain itu, ia turut dapat memperkasakan pelajar menghadapi cabaran serta rintangan yang bakal ditempuhi pada masa hadapan.

Namun, sebelum mengikuti kelas masakan tersebut, para peserta diuji minda terlebih dahulu. Peserta diberi tugasan untuk menyelesaikan kuiz silang kata berbentuk soalan kenegaraan. Sesi ini dikendalikan oleh Pembantu Penerangan Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Utara, Salawati Md Shariff.

Sesi kuiz minda

Sesi kuiz minda

Selain itu, turut diedarkan bahan-bahan penerbitan terkini Jabatan Penerangan Malaysia iaitu komik Geng Klik dan buku kecil ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.

Muallim, Mohd Farhan Yusuf, 30, berasa gembira pelajar-pelajar tahfiznya turut mendapat penerangan ringkas tentang jenayah siber di kalangan remaja.

Di antara pelajar yang terlibat menjayakan program

Di antara pelajar yang terlibat menjayakan program

Beliau amat berharap semua peserta kursus ini boleh berdikari dalam kehidupan masing-masing selepas tamat pengajian nanti dan menasihati mereka yang mempunyai kemahiran dan peluang untuk memulakan perniagaan supaya jangan takut untuk mencuba hingga berjaya.

-II-

Tinggalkan komen anda